suria

Kem PLKN mampu tampung 32,000 banduan dan tahanan, jimat kos atasi masalah kesesakan sepanjang pandemik Covid-19

Pengambil alihan bekas kem PLKN ini dijangka dapat menangani kesesakan dalam penjara dan depoh tahanan seluruh negara.

SEDIKIT pengubahsuaian dan kadar sewa munasabah antara faktor utama bagi merealisasikan saranan menjadikan bekas kem latihan khidmat negara sebagai fasiliti tahanan sementara sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Yang pasti komitmen untuk membantu kerajaan dalam mengharungi situasi mencabar ini disuarakan mantan Presiden Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PPKLKN), Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim bagi mewakili pengusaha lain.

Kata beliau, terdapat sebanyak 80 kem semuanya dan setiap daripadanya boleh menempatkan kapasiti 400 katil mengikut penjarakkan sosial iaitu mencecah 32,000 penghuni.

"Bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ini boleh diguna pakai dengan sedikit pengubahsuaian dan pembaikan untuk memenuhi keperluan minimum Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pembinaan sesebuah penjara atau depoh tahanan baharu memerlukan perbelanjaan tinggi.

Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim.

"Sehubungan itu, kami akan pastikan spesifikasi minimum serta isu-isu yang berkait dengan keselamatan mengikut garis panduan yang ditetapkan dipatuhi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan ada 15 kem PLKN dan satu Kem Bina Negara yang telah dikenal pasti untuk disewa sebagai Depoh Tahanan Sementara bagi menjamin penjarakan fizikal tahanan susulan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kesesakan di pusat tahanan merupakan faktor berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.

Tambah Ahmad Kamel lagi, pengambil alihan bekas kem PLKN ini dijangka dapat menangani kesesakan dalam penjara dan depoh tahanan seluruh negara.

"Seterusnya ia menjamin penjarakKan fizikal banduan serta tahanan di kedua-dua fasiliti penjara dan depoh tahanan sekali gus dapat mengelak penularan Covid-19," katanya.

Berikutan itu, katanya, penguaha kem yang masih aktif sentiasa bersedia menyumbang khidmat dan bekerjasama dengan kerajaan jika persetujuan berkaitan kadar sewa dapat dimuktamadkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain