suria

Gelombang ke-3 Covid-19, Agong zahir harapan agar petugas barisan hadapan terus tabah

Al-Sultan Abdullah mahu semua rakyat jelata terus menghargai segala jasa dan sumbangan yang disalurkan oleh petugas barisan hadapan.

PENGORBANAN petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19 turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi satu kenyataan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato' Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada Selasa petang, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar para wira dan wirawati petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah dalam memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 yang melanda negara pada ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Akaun Instagram biadab, Tunku Azizah anggap edit wajah Agong perbuatan ‘orang tak ada kerja’... sila ambil tindakan!

"Dalam menzahirkan kata-kata semangat kepada semua petugas barisan hadapan, Al-Sultan Abdullah amat memahami cabaran besar yang diharungi oleh mereka pada ketika ini ekoran daripada kenaikan mendadak kes-kes positif Covid-19 harian yang telah mencecah kepada empat angka secara berterusan sejak hujung tahun lalu.

"Al-Sultan Abdullah amat menyanjungi tinggi pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para petugas barisan hadapan demi keselamatan diri rakyat dalam memikul tanggungjawab membendung wabak Covid-19 dan merawat pesakit-pesakit wabak yang boleh meragut nyawa ini," ujar kenyataan Istana Negara itu.

Dalam kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan petugas barisan hadapan sebagai benteng utama negara sejak bermulanya penularan wabak Covid-19.

Malah, baginda mahu semua rakyat jelata terus menghargai segala jasa dan sumbangan yang disalurkan oleh golongan itu.

"Demi tugas, para wira dan wirawati negara ini bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, mereka juga terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak penularan wabak ini. Mereka kini bukan sahaja letih memerah keringat, tetapi juga keletihan mental.

Dalam pada itu, baginda turut menyatakan rasa dukacita atas sikap segelintir rakyat negara ini yang tidak peka dengan wabak yang sedang melanda.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dalam tindak-tanduk harian mereka, khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak ini.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru seluruh rakyat untuk menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Inilah masanya untuk kita, sebagai warganegara dan rakyat Malaysia mengenepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bersama mempamerkan semangat kesetiaan, kemanusiaan dan jati diri memerangi wabak Covid-19," ujar kenyataan itu lagi.

Baginda turut berharap agar penularan wabak itu akan berakhir secepatnya.

"Semoga dengan sokongan dan kerjasama rakyat jelata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa kita bukan sahaja mampu sekali lagi melandaikan lekuk kes-kes jangkitan Covid-19 harian, malah mampu meringankan beban yang dipikul oleh para petugas barisan hadapan.

"InsyaAllah, kalau kita berusaha dan tawakal kepada Allah, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara ini dengan berkesan," ujar kenyataan itu lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain