suria

Minum bir dalam pusat kuarantin Covid-19 perbuatan biadab, Cuepacs gesa tindakan tegas terhadap individu terlibat

Tangkapan skrin daripada video yang tular yang memaparkan sekumpulan individu berbual sambil meminum minuman keras.

SEJAK Sabtu, tular di laman media sosial video berdurasi 12 saat yang memaparkan beberapa individu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kota Kinabalu, Sabah meminum minuman keras.

Ramai pihak melahirkan rasa kurang senang dan kesal dengan perbuatan individu berkenaan yang disifatkan sebagai biadap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, tindakan itu jelas tidak menghormati pengorbanan petugas barisan hadapan kerana perbuatan itu dilakukan di kawasan digunakan sebagai kemudahan kesihatan merawat pesakit Covid-19.

Adnan berkata, tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

Justeru, kongres tersebut mendesak siasatan diadakan dan disusuli tindakan ke atas mereka yang terlibat, termasuk pihak bertanggungjawab yang membelikan minuman keras.

"Cuepacs mahu tindakan juga diambil kepada pihak terbabit yang membawa, membekal atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit... tindakan individu itu biadab kerana seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat.

"Tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Adnan berkata, sekiranya ada pembabitan pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri dalam kejadian itu, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam.

"Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan," katanya.

Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi dalam pada itu berkata, kes itu masih dalam siasatan dan menegaskan meminum arak tidak dibenarkan di semua PKRC.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain