suria

“Balik beli barang, suami beritahu positif Covid-19" - Rita Sosilawati sayu anak rayu nak jumpa daddy untuk 2-3 minit, terpaksa ‘tipu’ yang bongsu!

(gambar kiri) Rita (kanan) bersama suami, Khamarul. (gambar kanan) Tangkapan skrin video menunjukkan suami Rita menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.

USAHAWAN kosmetik, Datin Rita Sosilawati menerima khabar duka apabila suami beliau, Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah disahkan positif Covid-19.

Berita sedih itu diumumkan Rita menerusi laman Instagram miliknya, pada Ahad.

Rita turut memuat naik video menunjukkan suaminya mengasingkan diri di bilik lain di rumah mereka untuk menjalani kuarantin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada pusara ibu untuk diziarahi, Rita Sosilawati masak menu kegemaran arwah untuk ubat kerinduan... "Rindu tak semestinya menangis"

ARTIKEL BERKAITAN: Syukur, Penantian Tujuh Tahun Berakhir - Rita Sosilawati

Bercakap kepada mStar, Rita yang turut mengesahkan perkhabaran itu berkata, suaminya menerima keputusan itu pada pukul 7.26 malam Sabtu.

"Ketika itu saya baru lepas beli barang-barang dapur dan suami kemudian maklumkan kepada saya yang beliau disahkan positif Covid-19.

"Sebagai isteri, sudah tentu saya sedih dengan berita tersebut dan kami terus membuat persiapan untuk menempatkan suami di bilik lain di tingkat bawah, untuk pengasingan daripada kami terutama anak-anak," katanya ketika dihubungi.



Perkongsian Rita di laman sosial.

Rita atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari berkata, suaminya tidak sihat dengan mengalami gejala demam sejak beberapa hari lalu.

"Sejak dua, tiga hari lepas, suami kejap demam kejap okay selepas tu demam semula. Bila suami dah mula sakit tekak, saya sarankan suami untuk buat swab test (ujian swab).

"Kerja suami pula menuntut beliau untuk sering berjumpa dengan ramai orang. Jadi, suami buat swab test sebagai langkah berjaga-jaga," katanya mengenai suaminya yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Bila anak-anak kata, please daddy... can I see you for two, three minutes? (tolonglah daddy, boleh saya jumpa daddy untuk dua, tiga minit) benar-benar membuatkan saya sedih.

RITA SOSILAWATI

Dalam pada itu, Rita menjelaskan bahawa keempat-empat anaknya telah pun diasingkan lebih awal sejak beberapa hari lalu susulan keadaan kesihatan suaminya.

"Sejak dua, tiga hari ini juga anak-anak diasingkan daripada suami sebagai langkah-langkah pencegahan. Saya tak beritahu anak-anak mengenai keadaan sebenar suami sebab tidak mahu mereka takut... sebab mereka tahu apa itu Covid-19, koronavirus.

"Saya cuma jelaskan kepada mereka yang daddy (panggilan Khamarul untuk anak-anak) tak sihat, demam dan perlu berehat di bilik lain secara berasingan. Anak yang bongsu pula sebab terlalu manja dengan daddy, jadi saya bagi alasan daddy keluar bekerja dan tidur di hotel... sedangkan daddy di rumah je.

"Anak-anak semua rindu dengan daddy mereka, dan masing-masing ada telefon call tanya daddy bila mereka boleh jumpa daddy. Bila anak-anak kata, please daddy... can I see you for two, three minutes?(tolonglah daddy, boleh saya jumpa daddy untuk dua, tiga minit?) benar-benar membuatkan saya sedih.

"Buat masa ini, anak-anak hanya berhubung dengan suami menerusi video call (panggilan video)," katanya.



Rita (kiri) dan Khamarul (dua, kanan) dikurniakan empat cahaya mata.

Namun kata Rita, sebagai isteri dan ibu, beliau perlu tabah untuk memberi sokongan kepada keluarganya pada masa ini.

Tambah Rita yang merupakan kontak rapat, beliau dan anak-anak kini menjalani kuarantin di rumah dan akan menjalani ujian saringan Covid-19 dalam waktu terdekat.

"Buat masa ini saya dalam keadaan baik. Doakan yang baik-baik buat kami sekeluarga. Semoga suami saya segera sembuh.

"Kepada anda semua, terus jaga keselamatan diri dan semoga rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan," ujarnya.

Hasil perkahwinan selama lebih sembilan tahun, Rita dan Khamarulazlan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Kaisar Raees, Khalid Rashad, Khaylila Rafaahiyah dan Khalil Rizqullah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain