suria

TVET terbukti ada potensi besar, lahir ramai graduan ‘terhangat di pasaran’... cerah masa depan

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif dalam melahirkan lebih ramai ‘job creator’.

HEBAT! Graduan dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebuah program di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bukan calang-calang.

Percaya atau tidak, mereka mempunyai potensi besar untuk kerjaya masa depan dan sering menjadi pilihan majikan selepas tamat pengajian.

Pasaran kerja yang cukup luas pada masa akan datang, sekali gus bakal menjadikan mereka sebagai graduan 'terhangat di pasaran'. Begitulah realitinya.

Bukan setakat peluang kerja yang menarik sedang menunggu, pencapaian graduan dalam bidang TVET di negara ini juga amat membanggakan.

Bagi graduan politeknik dan kolej komuniti, pencapaian mereka terbukti cemerlang berdasarkan dapatan kajian kebolehpasaran melebihi 95 peratus setiap tahun.

Prestasi cemerlang itu membuktikan graduan politeknik dan kolej komuniti mendapat tempat dan menjadi pilihan majikan mahu pun industri, selain berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti universiti.

Menerusi TVET, KPT melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif dalam melahirkan lebih ramai 'job creator' (pencipta kerjaya).

Buktinya, politeknik dan kolej komuniti berjaya menghasilkan hampir 7,000 usahawan dalam kalangan graduan dari 2018 sehingga 2020.



Permintaan yang besar bagi mereka yang menjadikan bidang kemahiran sebagai satu kerjaya.

Lebih mengagumkan ada antara mereka mampu menjana pendapatan mencecah lima angka dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain.

Pencapaian pelajar di peringkat negara dan antarabangsa turut membanggakan dengan begitu banyak pingat, kemenangan dan pengiktirafan diraih melalui pelbagai pertandingan kemahiran, inovasi dan sukan.

Antara platform yang telah mengharumkan nama politeknik dan kolej komuniti termasuklah Pertandingan FIRA RoboWorld Cup, WordSkills Competition, Abilympics (Olympics of Abilities) bagi pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Pertandingan MySkills, Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Sukan Universiti Dunia (Universiade), Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan SEA.

Selain itu, terdapat graduan politeknik dan kolej komuniti yang membina kerjaya di luar negara, yang mana KPT menerapkannya melalui program pengantarabangsaan.

Pelajar didedahkan kepada peluang kerjaya global menerusi program pertukaran pelajar antarabangsa dan program latihan industri luar negara.

Kebolehpasaran graduan

Sebenarnya TVET memberi pengetahuan dan kemahiran yang dapat membantu pelajar untuk mencari pekerjaan, juga untuk bekerja sendiri.

Institusi bekerjasama dengan pihak industri mengadakan program khusus seperti Work-based learning, Structured Internship Programme bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.

Kebolehpasaran graduan TVET dapat dipertingkatkan dengan memperluaskan jaringan kolaborasi institusi dengan industri termasuk syarikat multinasional melalui kerjasama berimpak tinggi seperti program CEO Fakulti, Industri Dalam Kampus (IOC) dan Talent Enhancement Programme.

Program peningkatan kemahiran dan latihan semula juga dilaksanakan seperti yang ditawarkan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (PENJANA KPT-CAP), bagi memastikan pelajar mendapat pekerjaan selepas mengikuti latihan tersebut.



Graduan Kolej Komuniti Baling dan Peserta Negara WorldSkills Kazan 2019 menghasilkan produk inovasi tepung berasaskan biji cempedak dalam Majlis Pelancaran Karnival Inovasi Fama 2019.

TVET juga menekankan aplikasi kemahiran bagi membolehkan pelajar mempraktikkan ilmu tersebut menerusi amali bengkel atau makmal dan membangunkan inovasi projek tahun akhir yang berbentuk penyedia penyelesaian (solution provider).

Kebolehpasaran juga dimantapkan lagi melalui program pengajian yang responsif dengan keperluan industri menerusi semakan dan penjajaran program pengajian dari semasa ke semasa, bagi membolehkan pelajar bersedia untuk bekerja.

Menerusi TVET, pelajar memperoleh nilai tambah dalam program 'finishing school' yang melengkapkan sijil atau diploma mereka dengan pengiktirafan dan pentaulihan profesional daripada badan atau agensi yang diperakui.

Pelajar juga diberikan pendedahan dalam bidang keusahawanan seawal semester satu melalui Inkubator Keusahawanan di institusi dengan sokongan kementerian dan agensi luar.

Berikutan situasi semasa akibat pandemik Covid-19, TVET turut menggalakkan pelajar menceburi ekonomi gig (gig economy) dan bekerja bebas (freelancer) yang berjaya bagi menghadapi norma baharu pasaran kerja pasca Covid-19.

Cabaran pemerkasaan

Namun demikian, industri TVET di negara ini tidak terkecuali daripada cabaran dalam usaha untuk memperkasakannya.

Antara cabaran tersebut ialah mendapatkan kerjasama yang lebih lestari daripada pihak industri bagi membangunkan TVET, mengubah persepsi masyarakat bahawa TVET adalah untuk yang gagal atau kurang cemerlang dalam akademik dan koordinasi yang lebih baik bagi pelbagai penyedia atau kementerian berkaitan TVET.

Pembiayaan yang lestari untuk pembangunan atau penyenggaraan institusi, kemudahan dan peralatan serta membiayai pengajian pelajar di institusi TVET turut menjadi cabaran.



Pelajar perlu memupuk minat dan sanggup mempelajari perkara dan teknologi baharu.

Selain itu, cabaran untuk memperkasakan industri TVET adalah perkembangan pantas teknologi dan bagaimana untuk 'embracing' Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), dari aspek kesediaan pelajar, pensyarah, fasiliti, peruntukan, polisi dan pihak industri itu sendiri.

Dalam persekitaran norma baharu akibat pandemik Covid-19, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), amali dan praktikal kemahiran turut menjadi cabaran bagi TVET.

Kerjasama korporat, swasta

Sehubungan itu, badan korporat dan sektor swasta seharusnya memainkan peranan penting dalam membangunkan industri TVET di negara ini.

Majlis Penasihat Industri (IAC) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ditubuhkan pada April 2008, bagi mendapatkan input dan maklum balas industri terhadap teras strategik JPPKK.

Selain itu, IAC JPPKK menghubungkan jabatan dengan industri bagi tujuan kerjasama dan perkongsian pintar.

Majlis tersebut terdiri daripada 17 peneraju industri dari pelbagai bidang seperti pembuatan, pembinaan, logistik, peruncitan, perkhidmatan, kejuruteraan, keusahawanan, teknologi maklumat dan perbankan.

Dalam usaha untuk memperkasa TVET, KPT sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan keterlibatan pemain industri bukan sahaja dalam kerjasama latihan industri dan pekerjaan, malah dalam pembentukan kurikulum, dasar pendidikan dan peluang pekerjaan.

Pada 10 September 2020, Mesyuarat IAC yang bertemakan Norma Baharu Pekerjaan Pasca Pandemik Covid-19 diadakan, di mana perkongsian daripada Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) membentangkan situasi semasa yang dihadapi oleh pihak industri dan cabaran dan peluang yang ada untuk kebolehpasaran graduan TVET.



Graduan berkemahiran membantu syarikat meningkatkan produktiviti dengan lebih pantas.

Sebagai penyedia TVET utama di Malaysia, mesyuarat tersebut merupakan platform terbaik untuk JPPKK memantapkan lagi kolaborasi di antara industri dan akademia.

Ia bertujuan untuk membuka peluang dan ruang dalam menghasilkan graduan holistik dan seimbang sekali gus dapat meningkatkan lagi kebolehpasaran TVET.

Penglibatan industri dalam program-program seperti Focus Group Dialogue, National Industry Dialogue dan Employability Advisory Committee juga dapat memberi input dan maklum balas antara industri-akademia dalam meningkatkan kualiti pendidikan TVET, sekali gus melahirkan graduan yang menjadi rebutan industri.

Keputusan pelajar mengikut pengajian dalam bidang TVET termasuk mereka yang mahu menceburi bidang yang mempunyai kebolehpasaran tinggi amatlah bertepatan.

Mereka yang berminat untuk menceburi bidang TVET disarankan untuk mendapatkan maklumat berkenaan laluan pengajian dan kerjaya bagi pemahaman dan gambaran yang lebih jelas.

Pelajar juga bukan sahaja perlu bersedia melengkapkan diri dengan kemahiran dalam bidang tersebut, bahkan kompetensi lain turut penting menyumbang sebagai pekerja yang cemerlang seperti kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan Bahasa Inggeris.

Apa yang lebih penting, pelajar juga perlu memupuk minat dan sanggup mempelajari perkara dan teknologi baharu serta bersedia bertukar bidang bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan pasaran kerja.

Dengan peredaran masa terutama kesan pandemik Covid-19, pengalaman, pendidikan tambahan serta kemahiran memberikan banyak peluang kepada graduan TVET untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi, selain mempunyai pasaran kerja yang cukup luas.

Maka tidak hairanlah graduan TVET digelar sebagai ‘graduan terhangat di pasaran’!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain