suria

Malaysia catat 1,315 kes baharu Covid-19, empat lagi kematian termasuk kanak-kanak 4 tahun

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. -gambar hiasan/ foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 1,315 kes baharu, menjadikan keseluruhan 63,176 kes setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 11,508 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, negeri Sabah pada Sabtu melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 476 kes diikuti oleh Selangor (266 kes) dan Kuala Lumpur (191 kes).

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah masih catat jumlah jangkitan tertinggi, Malaysia rekod 1,109 kes pada Jumaat

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,315 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 354 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Sabtu.



Butiran kes kematian baharu pada Sabtu.

Menurut Dr Noor Hisham, antara empat kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan bukan warganegara berusia empat tahun.

Beliau berkata, sebanyak 1,110 kes telah pulih Covid-19 pada Sabtu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 51,314 kes.

"Sehingga kini, terdapat 118 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 43 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kluster baharu dikesan pada Sabtu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain