suria

Sabah masih catat jumlah jangkitan tertinggi, Malaysia rekod 1,109 kes pada Jumaat

Malaysia merekodkan 1,109 kes baharu pada Jumaat. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 1,109 kes baharu, menjadikan keseluruhan 61,861 kes setakat Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 11,307 kes di mana pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, negeri Sabah pada Jumaat melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 441 kes, diikuti oleh Selangor (175 kes) dan Negeri Sembilan (167 kes).

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah rekod jangkitan tertinggi, Malaysia catat 935 kes baharu Covid-19

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 1,109 kes baharu yang dilaporkan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 350 kes," katanya dalam satu sidang media pada petang Jumaat.

Beliau berkata, sebanyak 1,148 kes telah pulih Covid-19 pada Jumaat dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 50,204 kes.

"Sehingga kini, terdapat 113 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 41 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kluster baharu dikesan pada Jumaat iaitu Kluster Jalan Tuaran, Kluster Jalan Haruan, Kluster Tapak Bina Puteh Lama dan Kluster Beringin.

Ringkasan kes kematian pada Jumaat:

1) kes kematian 349 - Seorang lelaki bukan warganegara berumur 47 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Pesakit meninggal dunia di Hospital Semporna.

2) Kes kematian 350 - Seorang lelaki bukan warganegara berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok. Pesakit meninggal dunia di Hospital Labuan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Sabah, kes Sabah

Artikel Lain