suria

Selesai jalani pembedahan buang peluru, Sarjan Norihan kini stabil

Anggota PGA, Sarjan Norihan Tari tiba di Hospital Pulau Pinang dari Hospital Tuanku Fauziah untuk menerima rawatan berikutan cedera parah selepas ditembak semasa bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi Selasa lalu. Foto: Bernama

ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, yang tercedera dalam insiden tembakan ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan, Norihan yang menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru pada Khamis mula menunjukkan perkembangan positif untuk pulih.

Menurutnya, Norihan memberi tindak balas ketika beliau berbual dengannya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes tembak anggota PGA: Lapan suspek rakyat Thailand ditahan setakat ini

"Apa yang saya boleh kongsi, Norihan mula menunjukkan perkembangan positif dan memberi tindak balas ketika saya berbual dengannya tadi. Saya minta dia sabar dan jangan fikir banyak.

"Fokus untuk sihat dan tidak perlu bimbang dengan hal keluarga kerana polis beri jaminan menjaga keselamatan mereka. Keadaannya stabil, sedar malah boleh bercakap tetapi tak cakap banyak. Isterinya sentiasa ada bersamanya untuk memberi sokongan yang sepatutnya.

"Berdasarkan maklumat daripada doktor yang merawatnya, pasukan perubatan termasuk pakar sedang membuat penilaian berhubung sebutir lagi peluru berdekatan dengan paru-paru yang masih belum dikeluarkan.

"Sama ada perlu pembedahan susulan untuk keluarkan peluru ketiga itu ia bergantung kepada penilaian pakar-pakar perubatan dan keadaan kesihatan Norihan," katanya.

Norihan, 39, selesai menjalani pembedahan membuang dua butir peluru pada perut pada Khamis, yang mengambil masa lebih empat jam.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lalu, Norihan cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Kejadian tersebut turut mengorbankan seorang lagi anggota PGA mendiang Koperal Baharuddin Ramli terbunuh. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain