suria

Terlalu sesak, kotor! Asrama pekerja kilang sarung tangan tidak patuh peraturan

Penguatkuasa Jabatan Tenaga Kerja, Muhammad Rusdi Mokni (duduk, kanan) mengambil keterangan pekerja kilang ketika Operasi Akta 466 di sebuah asrama kilang di Ipoh. -foto Bernama

PIHAK berkuasa mengadakan operasi pemantauan di asrama pekerja sebuah kilang sarung tangan di Ipoh, Perak, dan mendapati ia terlalu sesak dan kotor.

Pengarah Standard Perburuhan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, syarikat tersebut melanggar peruntukan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Setiap asrama seharusnya mempunyai 10 hingga 12 pekerja, namun kami mendapati setiap unit masing-masing menampung 15 hingga 20 pekerja.

"Semasa kami menjalankan pemeriksaan di semua 13 asrama, yang merupakan rumah dua tingkat, kami mendapati tilam dan katil di ruang makan dan ruang tamu," katanya kepada pemberita selepas melawat asrama berkenaandi Tasek di Ipoh, Khamis.

Operasi tersebut dilakukan susulan lonjakan kes Covid-19 yang dikaitkan dengan sebuah kilang syarikat itu di Selangor.

Mohd Asri berkata, operasi dilakukan denhgan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan Jabatan Kesihatan negeri.

"Kita juga melakukan operasi seumpamanya di Johor, Kelantan, Kedah, dan Negeri Sembilan, yang melibatkan kilang bagi anak syarikat yang sama.

"Semasa serbuan dilakukan, kami mendapati syarikat itu gagal menjaga kebersihan di rumah-rumah berkenaan.

"Terdapat tong gas memasak dan pakaian diletakkan merata-rata," katanya.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, beliau berkata, sebuah rumah dua tingkat dengan tiga hingga empat bilik hanya boleh memuatkan 10 hingga 12 orang dan pekerja hanya dibenarkan tidur di bilik sekiranya asrama itu di rumah teres.

"Kita akan mengambil masa sekitar dua minggu untuk menyelesaikan siasatan kerana kita perlu memeriksa saiz asrama dan mendapatkan perincian setiap pekerja yang tinggal di asrama.

"Pada masa ini, kita telah merakamkan keterangan daripada majikan dan beberapa pekerja.

"Sekiranya syarikat itu didapati bersalah, majikan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi setiap pekerja," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan telah memberi masa kepada syarikat tersebut untuk mematuhi peraturan sehingga 1 September.

"Sekarang sudah November, oleh itu semua majikan seharusnya mengetahui Akta tersebut dan memohon sijil perakuan penginapan yang boleh dibuat secara dalam talian di laman web kita," katanya, sambil menambah bahawa syarikat tersebut bagaimanapun tidak memiliki sijil berkenaan. - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain