suria

Ketahui syarat, cara mohon pindah wang KWSP dari Akaun 2 ke Akaun Fleksibel... Rancang kewangan dengan bijak!

Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024.

PENAMBAHAN Akaun 3 atau Akaun Fleksibel untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia bawah 55 tahun, yang dinanti-nantikan ternyata menggembirakan ramai.

Transaksi Akaun 3 atau Akaun Fleksibel tersebut bermula 11 Mei depan.

Ia susulan pengumuman KWSP mengenai inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan pengenalan Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan seterusnya yang terbaharu Akaun Fleksibel (Akaun 3).

Ramai yang menarik nafas lega dengan pengenalan Akaun Fleksibel ini, tapi ini yang perlu anda ketahui sebelum membuat permohonan:

1. Apakah itu Akaun Fleksibel?

Akaun Fleksibel adalah akaun baharu yang terdiri daripada 10 peratus jumlah simpanan ahli. Akaun ini bertujuan untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli.

Simpanan Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP. Walau bagaimanapun, KWSP menggalakkan pengeluaran cuma digunakan pada waktu kecemasan dan untuk keperluan mendesak sahaja.

2. Bilakah tarikh pelaksanaan penstrukturan semula akaun KWSP?

Pelaksanaan penstrukturan tiga akaun KWSP akan bermula pada 11 Mei 2024.

ARTIKEL BERKAITAN: Akaun 3 KWSP bermula 11 Mei dengan baki sifar, penuhi keperluan kewangan jangka pendek

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli KWSP bawah 55 tahun bakal ada 3 akaun... Adakah anda sudah bersedia?

3. Siapakah yang terlibat dalam penstrukturan semula akaun KWSP yang baharu?

Penstrukturan semula akaun KWSP terpakai kepada semua Ahli KWSP termasuk bukan warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun pada 11 Mei 2024.

4. Apakah yang akan berlaku dengan simpanan sedia ada di dalam Akaun 1 dan Akaun 2 setelah penstrukturan akaun KWSP dilaksanakan?

Baki simpanan di dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal di dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel iaitu akaun baharu akan bermula dengan sifar (0).

5. Bagaimana caruman baharu dikreditkan selepas tarikh kuat kuasa penstrukturan semula akaun KWSP?

Caruman baharu yang dikreditkan selepas tarikh pelaksanaan akan diagihkan mengikut nisbah seperti berikut:

akaun fleksibel 4

PILIHAN PINDAHAN AMAUN PERMULAAN

6. Apakah yang dimaksudkan dengan pilihan pindahan amaun permulaan?

Selepas tarikh pelaksanaan, ahli mempunyai pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel. Ahli boleh membuat pilihan untuk pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel.

7. Bila anda boleh memilih pilihan pindahan amaun permulaan?

Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024.

Pilihan ini hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut dan tidak boleh dibatalkan.

8. Bagaimana ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel?

Ahli digalakkan untuk membuat permohonan secara online melalui KWSP i-Akaun untuk proses yang lebih mudah dan pantas.

Walau bagaimanapun, bagi ahli yang menghadapi kesukaran akses kepada kemudahan online boleh membuat permohonan melalui Self Service Terminal (SST) di mana-mana pejabat KWSP.

9. Bilakah pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel akan diluluskan?

Pilihan pindahan amaun permulaan akan berkuat kuasa apabila tindakan pindahan ke Akaun Fleksibel dibuat dalam tempoh 3-5 hari.

10. Bagaimana amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel ditentukan?

Penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan seperti berikut:

Bagi ahli yang mempunyai baki simpanan RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera.

Baki simpanan dalam Akaun Sejahtera diagihkan mengikut nisbah berikut:-

i. Sepuluh per tiga puluh (10/30) ke Akaun Fleksibel;

ii. Lima belas per tiga puluh (15/30) kekal dalam Akaun Sejahtera; dan

iii. Lima per tiga puluh (5/30) ke Akaun Persaraan.

akaun fleksibel 2

Bagi ahli yang mempunyai baki simpanan kurang daripada RM3,000 dalam Akaun Sejahtera.

i. Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

ii. Akaun Sejahtera yang mempunyai simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000, manakala baki adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera kurang dari RM3,000.

akaun fleksibel 3

11. Apakah yang akan berlaku sekiranya ahli tidak membuat pilihan pindahan amaun permulaan?

Sekiranya ahli tidak memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan, baki dalam Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel sedia ada akan kekal.

Manakala, caruman baharu akan dikreditkan ke Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Pengeluaran daripada akaun tersebut adalah tertakluk kepada terma dan syarat pengeluaran semasa.

PENGELUARAN AKAUN FLEKSIBEL

12. Adakah ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel?

Boleh, ahli dibenarkan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, KWSP menggalakkan pengeluaran cuma digunakan pada waktu kecemasan dan untuk keperluan mendesak sahaja.

13. Apakah syarat-syarat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel?

Syarat-syarat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel adalah seperti berikut:

a. Semua ahli KWSP warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia

b. Belum mencapai umur 55 tahun

c. Mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel; dan

d. Had amaun pengeluaran minimum yang ditetapkan adalah RM50

14. Bagaimana kaedah permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?

Ahli boleh memohon Pengeluaran Akaun Fleksibel melalui saluran berikut:

i. Secara online melalui KWSP i-Akaun; atau

ii. Kunjungi mana-mana kaunter KWSP

15. Adakah ahli perlu membuat mengemukakan dokumen sokongan semasa membuat permohonan?

Ahli tidak perlu mengemukakan sebarang dokumen sokongan. Walau bagaimanapun, ahli perlu menggunakan akaun bank yang aktif bagi memastikan proses bayaran adalah teratur.

16. Adakah ahli perlu hadir ke kaunter bagi tujuan menurunkan/ pengecaman cap ibu jari untuk permohonan secara dalam talian?

Tidak, ahli tidak perlu hadir di kaunter bagi tujuan di atas kerana semakan dan pengesahan akan dibuat melalui sejarah rekod ahli dan menerima pakai lain-lain kawalan.

Sekiranya ahli tiada sejarah rekod pengeluaran sebelum ini, ahli perlu menjalani pengesahan identiti melalui cap ibu jari di Self-Service Terminal (SST) KWSP. Sekiranya jumlah pengeluaran adalah kurang daripada RM10,000, ahli boleh melalui proses pengesahan identiti secara dalam talian.

17. Apakah kaedah bayaran bagi Pengeluaran Akaun Fleksibel?

Bayaran bagi Pengeluaran Fleksibel akan dibayar secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank ahli.

Pastikan syarat-syarat di bawah dipenuhi bagi memastikan urusan pembayaran pengeluaran Fleksibel berjalan lancar:

• Akaun bank (simpanan atau semasa) yang masih aktif; dan

• Akaun bank adalah didaftarkan atas nama ahli sendiri (bukan akaun bersama/ syarikat)

Peringatan: Ahli yang tidak mempunyai akaun bank adalah dinasihatkan untuk membuka akaun bank sebelum membuat permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel.

18. Bilakah bayaran Pengeluaran Fleksibel dikreditkan ke dalam akaun bank ahli?

Bayaran akan dibuat dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja selepas permohonan diluluskan.

19. Adakah ahli boleh membatalkan permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel?

Permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel tidak boleh dibatalkan apabila permohonan telah diluluskan. Ahli disarankan untuk membuat keputusan yang tepat sebelum mengemukakan permohonan.

Maklumat lanjut mengenai penstrukturan semula akaun KWSP dan Akaun Fleksibel, boleh layari laman web KWSP.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain