suria

Ahli KWSP bawah 55 tahun bakal ada 3 akaun... Adakah anda sudah bersedia?

Ahli KWSP berumur bawah 55 tahun bakal mempunyai tiga akaun.

PENSTRUKTURAN semula akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyaksikan Akaun 1 dinamakan semula sebagai Akaun Persaraan, Akaun 2 (Akaun Sejahtera) dan pengenalan Akaun 3 atau 'Akaun Fleksibel'.

Akaun 3 dijangka diumum pada akhir April.

The Star difahamkan walaupun tarikh pengumuman itu belum disahkan, namun pelancaran Akaun 3 atau Akaun Fleksibel dijangka dilakukan menjelang akhir bulan ini.

Akaun untuk ahli berusia bawah 55 tahun itu akan distruktur semula daripada dua akaun kepada tiga bermula 11 Mei depan.

Pada masa ini, bagi ahli berumur di bawah 55 tahun, 70 peratus daripada caruman mereka masuk ke Akaun 1 manakala 30 peratus ke Akaun 2.

ARTIKEL BERKAITAN: Paling ditunggu-tunggu! PM umum akaun Fleksibel KWSP, boleh akses bila-bila masa

Selepas Akaun 3 dilaksanakan, ia akan dibahagikan kepada tiga dengan 75 peratus akan dimasukkan ke dalam Akaun 1, 15 peratus ke Akaun 2 dan 10 peratus ke Akaun 3.

"Ahli boleh memilih untuk memindahkan dana daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melalui mekanisme mengikut pilihan itu.

"Ahli diberi masa sehingga 31 Ogos 2024 untuk memilih bagi jumlah permulaan dalam Akaun Fleksibel," menurut sumber.

Kata sumber itu lagi, antara Mei hingga Ogos, ahli boleh memilih jumlah permulaan, yang dipanggil sebagai fasa pengumpulan.

Bagi ahli yang memilih untuk tidak mengikut serta untuk jumlah permulaan dalam Akaun 3 mereka, baki mereka akan bermula dari sifar sehingga caruman baharu dikreditkan.

"Simpanan daripada akaun fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa, dengan jumlah pengeluaran minimum ialah RM50," tambah sumber itu.

Sumber itu berkata, dividen KWSP berkemungkinan kekal sama.

Tahun lalu, menurut KWSP, Akaun 3 akan berfungsi seperti akaun simpanan, dan ahli boleh mengeluarkan simpanan mereka pada bila-bila masa.

Cadangan untuk memperkenalkan akaun itu juga adalah untuk memenuhi keperluan tunai kecemasan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain