suria

UM mohon maaf jemput profesor didakwa pro-Israel, batal program serta-merta

UM kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat.

UNIVERSITI Malaya (UM) membuat permohonan maaf berhubung kontroversi universiti itu menjemput profesor didakwa pro-Israel, Bruce Gilley untuk memberi syarahan dalam satu program.

Menurut UM dalam satu kenyataan, pihaknya mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah jemputan warga asing tersebut.

"UM mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi. UM berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jemput profesor didakwa pro-Israel, KPT arah UM serah segera laporan

Menurut kenyataan itu lagi, laporan lengkap berhubung isu tersebut sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan isu berkenaan.

"Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial," katanya.

Selain itu, UM dalam kenyataannya turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut mengenai aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

"Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia," tegasnya.

Pada masa sama, UM memaklumkan bahawa ia akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan pada Rabu mengarahkan UM untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dihadiri penceramah terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengarahkan universiti berkenaan menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut.

Tambah Zambry, walaupun institut pengajian tinggi (IPT) diberi autonomi untuk memutuskan program intelektual tetapi itu bukan bermakna mereka bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Gilley merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat.

Gilley menerusi akaun miliknya di laman X turut memberikan pandangan kontroversi yang membidas pendirian Kerajaan dalam kemelut Israel-Palestin.

Selain itu, Gilley turut mempunyai bendera Israel sebagai gambar latar belakang akaun media sosialnya yang jelas menunjukkan sokongan profesor itu kepada rejim Zionis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain