suria

Jemput profesor didakwa pro-Israel, KPT arah UM serah segera laporan

Seorang profesor yang didakwa pro-Israel dijemput ke sebuah program di Universiti Malaya.

GEMPAR di media sosial dakwaan pihak Universiti Malaya (UM) menjemput profesor pro-Israel, Bruce Gilley untuk memberi syarahan dalam satu program.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan pada Rabu mengarahkan UM untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dihadiri penceramah terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut mengarahkan universiti berkenaan menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut.

"Pada masa sama, suka untuk saya ingatkan kepada setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput individu atau pihak ke majlis dan program.

"Setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan," katanya menerusi kenyataan sama.

Tambah Zambry, walaupun institut pengajian tinggi (IPT) diberi autonomi untuk memutuskan program intelektual tetapi itu bukan bermakna mereka bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Gilley merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat.

Gilley menerusi akaun miliknya di laman X turut memberikan pandangan kontroversi yang membidas pendirian Kerajaan dalam kemelut Israel-Palestin.

Selain itu, Gilley turut mempunyai bendera Israel sebagai gambar latar belakang akaun media sosialnya yang jelas menunjukkan sokongan profesor itu kepada rejim Zionis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain