suria

Akaun 3 KWSP bermula 11 Mei dengan baki sifar, penuhi keperluan kewangan jangka pendek

Ahli KWSP berumur bawah 55 tahun bakal mempunyai akaun baharu dikenali sebagai Akaun Fleksibel.

PENSTRUKTURAN semula akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyaksikan penambahan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel untuk ahli berusia bawah 55 tahun, bermula 11 Mei depan.

Terdahulu KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan pengenalan Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan seterusnya yang terbaharu Akaun Fleksibel (Akaun 3).

Berikut merupakan perincian fungsi ketiga-tiga akaun tersebut:

1) Akaun Persaraan: Mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan

2) Akaun Sejahtera: Menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan

3) Akaun Fleksibel: Menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut: 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

Simpanan dalam akaun Flesksible boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

"Bagaimanapun, ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (Akaun 2) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel (Akaun 3)," ujar KWSP dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui syarat, cara mohon pindah wang KWSP dari Akaun 2 ke Akaun Fleksibel... Rancang kewangan dengan bijak!

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli KWSP bawah 55 tahun bakal ada 3 akaun... Adakah anda sudah bersedia?

Tambah kenyataan itu, tujuan ahli diberikan pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.

"Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.

"Kaedah pindahan adalah mengikut dua pecahan iaitu pertama baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera manakala yang kedua baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000," jelasnya

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata fokus utama inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP itu adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan persaraan.

Antaranya keperluan kewangan jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain