suria

Caruman KWSP: Majikan boleh daftar permohonan pekerja kekalkan 11 peratus mulai 14 Disember

Majikan boleh mendaftar permohonon pekerja mereka untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus bermula 14 Disember 2020.

KADAR caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk syer pekerja sebanyak 11 peratus boleh dikekalkan, dengan permohonan pekerja.

Majikan boleh mendaftar permohonon pekerja mereka untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus itu bermula 14 Disember 2020, menurut KWSP.

KWSP berkata, pendaftaran permohonan itu hanya boleh dilakukan melalui portal i-Akaun (Majikan).

"Ini adalah selaras dengan langkah KWSP untuk memastikan penjarakan fizikal dipatuhi serta mengurangkan interaksi secara bersemuka untuk membendung penularan wabak Covid-19.

"Dalam tempoh ini, kehadiran majikan di cawangan KWSP adalah terbatas manakala aktiviti lawatan pegawai KWSP ke premis majikan akan dihadkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

KWSP berkata, majikan hanya boleh hadir ke cawangannya untuk tujuan pendaftaran majikan dengan membuat janji temu terlebih dahulu melalui saluran Janji Temu Online (www.kwsp.gov.my/janjitemu).

Menurutnya, pembayaran caruman bulanan KWSP serta caj lewat bayar dan dividen boleh dibuat melalui saluran i-Akaun (Majikan), perbankan internet, dan kaunter ejen bank yang dilantik.

Bagi urusan lain, termasuk khidmat nasihat berkaitan majikan dan pengurusan akaun majikan, para majikan boleh berhubung terus dengan pegawai khidmat nasihat majikan yang ditugaskan kepada syarikat masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, majikan boleh menghubungi pusat pengurusan perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 ataupun rujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain