suria

Covid-19: KKM tak terima laporan jangkitan daripada sarung tangan

Sebahagian daripada 300 pekerja Top Glove yang dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di asrama pekerja Top Glove di Meru, Klang awal minggu ini. Foto Bernama

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa tiada laporan yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung jangkitan Covid-19 daripada sarung tangan.

Menurut Dr Noor Hisham, sarung tangan yang dihasilkan oleh pengeluar melalui proses tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kali pertama melepasi 2,000 kes Covid-19, Selangor masih catat angka tertinggi

"Setakat ini tiada laporan jangkitan daripada sarung tangan yang didokumentasikan," katanya pada sidang media pada petang Jumaat.

Beliau berkata demikian menjawab kebimbangan awam berhubung jangkitan Covid-19 daripada sarung tangan berikutan ramai pekerja kilang Top Glove dijangkiti Covid-19.

Setakat ini, jumlah jangkitan dalam kalangan pekerja dan ahli keluarga syarikat pembuat sarung tangan itu yang membentuk Kluster Teratai, merekodkan 4,124 kes positif daripada 6,553 individu yang disaring.

Rabu lalu, Top Glove Corporation Bhd memberi jaminan bahawa bilangan kes jangkitan yang tinggi dalam kalangan pekerjanya tidak menyebabkan sarung tangan yang dihasilkan tercemar. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sarung tangan, Top Glove, KKM

Artikel Lain