suria

Kali pertama melepasi 2,000 kes Covid-19, Selangor masih catat angka tertinggi

Sebahagian petugas barisan hadapan melakukan proses semburan nyah kuman selepas menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang pada Selasa. - FotoBERNAMA

PENULARAN Covid-19 di negara ini buat pertama kalinya merekodkan 2,188 kes baharu, menjadikan keseluruhan 58,847 kes setakat Selasa.

Daripada kes baharu yang telah dilaporkan, kesemua merupakan penularan dalam negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Selangor masih lagi mencatatkan pelaporan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,623 kes (74.2 peratus), diikuti Sabah (232 kes) dan Perak (112 kes).

"Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan di Selangor adalah daripada Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,511 kes (93.1 peratus).

"Pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan telah digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kematian 341 kes.

"KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa," katanya.

Sehingga hari ini, 1,673 kes telah pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 44,153 kes.

Untuk rekod semasa, 112 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 49 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, terdapat sebanyak 334 kluster dilaporkan pada Selasa.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Teratai (1,511 kes), Kluster Tembok (103 kes), dan Kluster Bintang (69 kes).

Ringkasan kes kematian hari ini:

1. Lelaki berusia 84 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik paru-paru meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

2. Lelaki berusia 74 tahun yang meninggal dunia di Hospital Lahad Datu, Sabah.

3. Wanita berusia 41 tahun yang meninggal dunia di Hospital Lahad Datu, Sabah.

4. Lelaki berusia 45 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain