suria

Membanggakan! 10 universiti tempatan dalam ranking 110 terbaik di Asia, UM di tempat ke-9

UM berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia apabila menduduki ranking ke-9.

UNIVERSITI Malaya (UM) mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya berjaya disenaraikan sebagai 10 universiti terbaik di Asia.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 pada 25 November lalu, UM berada pada kedudukan tangga kesembilan berbanding tempat ke-13 pada penarafan tahun lepas.

Dalam pada itu, apa yang lebih membanggakan, sembilan lagi universiti tempatan yang terdiri dari enam universiti awam dan tiga universiti swasta di negara ini turut berada dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.

ARTIKEL BERKAITAN: UM di kedudukan ke-27 ranking EEUR

Antaranya Universiti Putra Malaysia (ke-28), Universiti Sains Malaysia (ke-34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (ke-39), Universiti Teknologi PETRONAS (ke-70), Universiti Taylor’s (ke-89), Universiti UCSI (ke-105), Universiti Utara Malaysia (ke-107) dan Universiti Teknologi MARA (ke-108).

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kejayaan itu merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju Pendidikan Tinggi Negara berada di atas landasan yang betul.

Tahun ini, menurutnya, merupakan separuh penggal pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) dan telah menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

"Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UM, Profesor Dato' Ir. Mohd Hamdi Abd Shukor mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas sokongan yang diberikan sehingga membolehkan UM berjaya memainkan peranan penting dalam usahanya untuk meningkatkan profil institusi pengajian tinggi Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Beliau dalam masa masa yang sama turut menzahirkan penghargaan atas komitmen berterusan dari mereka yang berkolaborasi bersama UM, rakan antarabangsa dan alumni atas sumbangan mereka dalam kejayaan ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain