suria

Kecoh! Bapa dipercayai bunuh anak 8 bulan asyik berdoa, enggan keluar kereta polis... akhirnya diusung masuk mahkamah

Lelaki yang dipercayai suspek kes bunuh bayi lapan bulan terpaksa diangkat dan diusung beberapa anggota polis apabila lelaki itu enggan memberi kerjasama, ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok. -foto Bernama

KEENGGANAN suspek dipercayai membunuh anak lelakinya berusia lapan bulan memasuki mahkamah di Bachok, Kelantan menimbulkan kekecohan pada pagi Rabu.

Tindakan lelaki itu memaksa enam anggota polis terpaksa mengusungnya masuk ke Mahkamah Majistret Bachok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Suspek berusia 40 tahun yang dibawa menaiki kereta polis tiba di mahkamah pada jam 9.20 pagi dikatakan enggan keluar dari kereta dan membaca beberapa surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa.

Bagaimanapun, selepas 10 minit menunggu, anggota polis terpaksa mengusung suspek yang lengkap berpakaian lokap berwarna ungu masuk ke mahkamah.

Prosedur perintah tahanan reman terhadap suspek akhirnya berjaya dilakukan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Suspek direman selama tujuh hari berkuat kuasa hari ini sehingga Selasa (20 Oktober ini).

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan reman berkenaan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan mayat bayi lelaki berkenaan, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan ditemui berbungkus dalam sebuah guni dan disorokkan di rak dapur rumah suspek di Kampung Sungai Dua di Bachok.

Suspek dipercayai mempunyai masalah mental sebelum itu menghubungi sepupunya yang berusia 50 tahun meminta supaya lelaki itu datang ke rumah melihat keadaan anaknya.

Sepupunya yang tergamam menemukan bayi terbabit terus ke balai polis meminta pertolongan.

Pasukan polis yang tiba ke lokasi mendapati pintu rumah berkunci dari dalam dan terpaksa memecahkannya.

Hasil pemeriksaan dalam rumah menemui suspek berkurung di dalam bilik bersama isterinya berusia 32 tahun yang sedang menangis ketakutan dan trauma.

Pemeriksaan lanjut menemui mayat bayi yang berbungkus dalam guni di sebuah rak di dapur rumah itu.

Mayat berada dalam keadaan dilumur garam dan cedera di kiri kanan leher serta lebam pada badan. - SinarHarian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

suspek, bunuh, Bachok, bayi, trauma, lebam, garam

Artikel Lain