suria

Menjelang 2 hari sebelum Anwar ke Istana Negara, PAS tegaskan 18 ahli Parlimennya tetap sokong Muhyiddin sebagai PM

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

MENJELANG dua hari sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu, PAS pada Ahad menegaskan kesemua 18 ahli Parlimennya tetap menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, parti itu juga tidak terkesan dengan retorik yang dibawa Presiden PKR itu yang mendakwa mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat perkenan Agong, Anwar bakal ke Istana Negara minggu depan - “Saya akan persembahkan keterangan lengkap majoriti ahli Parlimen yang kukuh, meyakinkan”

"PAS menganggap isu yang dibangkitkan oleh individu yang sama ini adalah tindakan terdesak yang mempunyai kepentingan serta cita-cita peribadi, di samping menangguk di air keruh ketika kerajaan PN sedang menguruskan masalah Covid-19 serta langkah pemulihan ekonomi negara.

"Dalam hal ini, PAS amat yakin Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan melayan tindakan 'desprado' (terdesak) ini, sebaliknya Seri Paduka akan mengendalikan perkara ini berdasarkan peruntukan dan undang-undang di bawah Perlembagaan negara, ” katanya dalam kenyataan.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata PAS turut berharap kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menimbulkan keresahan dan kekeliruan rakyat selain menjejaskan ekonomi.

Anwar pada Khamis lalu memaklumkan beliau sudah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah untuk menghadap baginda bagi mempersembahkan jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Menerusi satu kenyataan, Anwar berkata beliau dijadualkan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa (13 Oktober). - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain