suria

Dapat perkenan Agong, Anwar bakal ke Istana Negara minggu depan - “Saya akan persembahkan keterangan lengkap majoriti ahli Parlimen yang kukuh, meyakinkan”

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -fotoAFP

DATUK Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk menghadap baginda bagi mempersembahkan jumlah majoriti ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Menerusi satu kenyataan, Presiden PKR itu berkata beliau dijadualkan untuk menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa depan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini bukan kerajaan pintu belakang” - Anwar umum peroleh majoriti kukuh ahli parlimen, layak jadi PM

"Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

"Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, InsyaAllah.

"Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini," katanya dalam kenyataan tersebut.

Anwar dalam satu sidang media pada 23 September lalu memaklumkan memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Menerusi sidang media tergempar itu, beliau memaklumkan mendapat sokongan ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.

Anwar berkata, beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah selepas baginda sembuh menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang ke Istana Negara pada 2 Oktober lalu selepas menerima rawatan di IJN sejak 21 September lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain