suria

Salam takziah... KP Jakim meninggal dunia

Allahyarham Paimuzi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh.

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Paimuzi Yahya meninggal dunia pada usia 59 tahun.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh pada pukul 1 petang Khamis.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kuang, Gombak.

Pada Rabu, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan memberitahu, Paimuzi bebas daripada pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu, Paimuzi menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 pada Selasa iaitu 6 Oktober lalu di Hospital Sungai Buloh dan keputusan didapati negatif.

"Namun begitu, memandangkan faktor sejarah kesihatan beliau yang kurang memuaskan, maka pihak hospital mencadangkan supaya beliau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi mendapatkan rawatan susulan," menurut kenyataan itu.

Paimuzi yang dilahirkan pada 2 Februari 1961 dilantik sebagai Ketua Pengarah Jakim pada Januari 2020.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim.

Allahyarham berkelulusan Ijazah Sarjana Muda pada 1985 dan Ijazah Sarjana (1995) dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal Islam apabila mula menyertai perkhidmatan awam pada 1986 dalam Skim Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Paimuzi ialah Pengarah Jakim Cawangan Sabah (2005) dan Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008.

Selain itu beliau pernah menjadi Pengarah Darul Quran Jakim pada 2010 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) pada 2017 sebelum kembali ke Jakim.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain