suria

“Sila tampil, jika kita panggil tentu tak berapa cantik” - SPRM ada senarai selebriti, usahawan terlibat kes ‘cuci wang’ Macau Scam

Selebriti dan usahawan antara yang tersenarai terlibat dalam kegiatan 'cuci wang' sindiket Macau Scam. - gambar hiasan/grafik The Star

SELEBRITI dan usahawan antara yang tersenarai terlibat dalam kegiatan 'cuci wang' sindiket Macau Scam.

Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan yang giat dijalankan ketika ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata sehubungan itu, individu terbabit diminta hadir di SPRM, sebelum dipanggil untuk membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tahun depan aku dah azam... bodoh lama takkan dibawa ke tahun hadapan" - Wang simpanan Azhan Rani lesap terpedaya Macau Scam

ARTIKEL BERKAITAN: Sindiket Macau Scam meningkat, kerugian RM98.3 juta

"Saya tidak mahu buat spekulasi siapa di antara mereka yang akan dipanggil tetapi sesiapa yang makan cili mesti terasa pedasnya.

"Mereka yang mungkin pernah menerima dana daripada kegiatan sindiket, jadi sila datang ke SPRM. Jika kita panggil tentu tidak berapa cantik," katannya dalam temu bual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm.

Berikutan itu, beliau berharap pihak terlihat dapat datang ke pejabat SPRM dan layanan baik dijamin diberikan kepada mereka.

"Kita sudah ada senarai, bagaimanapun kita tidak mahu guna ayat menyerah diri, sebaliknya guna ayat paling lembut iaitu tampil kepada kita," katanya.

Jelas Azam lagi, jenayah pengubahan wang haram membabitkan kesalahan seperti menipu, rasuah atau merompak bank di mana wang itu perlu di cuci.

"Jadi, mustahil mereka yang menerima wang itu tidak tahu kerana wang itu biasanya diserahkan dalam bentuk tunai," katanya.

Malahan, katanya, siasatan yang dijalankan turut mengesan ke mana wang itu berada dan menubuhkan perniagaan adalah antara usaha mencuci wang aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram yang dimiliki oleh pihak berkenaan.

"Kita yakin sindiket ini telah beroperasi sejak beberapa tahun lepas, pihak siasatan mencurigai bagaimana sindiket ini berleluasa tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam operasi khas itu.

"Mereka akan melihat jika ada isu berkaitan dengan cukai. Kerja penyiasatan ini adalah rumit," katanya.

Pada Rabu, serbuan di sebuah kediaman di ibu negara menemui wang berjumlah RM100,000 yang disyaki ada kaitan dengan sindiket sama.

Sebelum itu, dua pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ditahan SPRM berhubung kes pengubahan wang haram melibatkan selebiri negara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain