suria

Zon merah! 384 sekolah di Klang, Sandakan, Tuaran, Papar ditutup mulai esok

sekolah tutup

SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor bermula Jumaat ini, kesemua 384 sekolah di empat daerah itu yang diklasifikasikan sebagai zon merah Covid-19, akan ditutup bermula Khamis (8 Oktober 2020) sehingga 23 Oktober ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan pada Rabu berkata, penutupan itu melibatkan 142 sekolah di Klang dan 242 sekolah di tiga daerah berkenaan di Sabah.

"Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. Sekolah yang mempunyai asrama termasuk kolej vokasional juga ditutup," menurut kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: SOP lama di penjara antara punca kenaikan mendadak kes Covid-19 - Ismail Sabri

Justeru, ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan dinasihat agar menjemput anak mereka yang tinggal di asrama sekolah dan kolej vokasional terlibat.

Namun, pelajar boleh juga memilih untuk terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah dan akan berada di bawah penjagaan warden, menurut kenyataan itu.

"Keperluan makan dan minum murid sepanjang menunggu untuk diambil atau yang memilih untuk kekal di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan dalam tempoh penutupan sekolah itu, pengetua dan guru besar akan memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian mereka.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my," menurutnya.

Sementara itu, bagi sekolah yang sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terlibat dengan penutupan, boleh menjadualkan semula peperiksaan ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

"Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan kerjasama Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan," menurut KPM.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Sandakan, Papar, Tuaran dan Klang, bermula Jumaat ini susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain