suria

Malaysia catat 375 kes baharu, 5 di Sabah korban Covid-19... 60 dirawat di ICU

Sebanyak 375 kes direkodkan pada Khamis, dengan lima korban dicatatkan. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 375 kes baharu, menjadikan keseluruhan 14,368 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 3,703 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 375 kes baharu yang dilaporkan, 371 adalah kes penularan tempatan dan empat kes import yang pulang dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia catat 489 kes baharu, hanya 2 jangkitan import

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 371 kes penularan tempatan, sebanyak 342 melibatkan warganegara dan 29 warga asing.

Daripada jumlah itu, 18 kes adalah melibatkan pengunjung yang pulang dari Sabah

"Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 146 kes," katanya dalam sidang media, petang Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 18 kes telah pulih Covid-19 pada Rabu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,519 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat 60 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 20 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau juga memaklumkan terdapat lima kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Tujuh Serangkai (Sabah), Kluster Tanamera (Sabah), Kluster Jalan Pantai (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Kluster Bah Arnab (Sarawak) dan Kluster Bah Bangat (Wilayah Persekutuan Labuan).

Berikut perincian lima kes kematian pada Khamis:

1) Kes kematian 142 (kes 12,489) adalah seorang warganegara lelaki berumur 55 tahun, meninggal di dunia Hospital Lahad Datu. Beliau mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

2) Kes kematian 143 (kes 13,692) adalah seorang warganegara wanita berumur 75 tahun, meninggal dunia di Hospital Semporna. Beliau mempunyai penyakit darah tinggi.

3) Kes kematian 144 (kes 13,705) adalah seorang warganegara lelaki berumur 57 tahun, meninggal dunia di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan. Beliau mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

4) Kes kematian 145 (kes 14,261) adalah seorang warganegara lelaki berumur 82 tahun, meninggal dunia di Hospital Tawau.

5) Kes kematian 146 (kes 14,264) adalah seorang warganegara lelaki berumur 53 tahun, meninggal dunia di Hospital Tawau. Beliau mempunyai penyakit kencing manis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, kluster

Artikel Lain