suria

“Ini bukan kerajaan pintu belakang” - Anwar umum peroleh majoriti kukuh ahli parlimen, layak jadi PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DATUK Seri Anwar Ibrahim mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Menerusi sidang media tergempar itu, beliau memaklumkan mendapat sokongan ahli parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas baginda sembuh.

"Saya sudah diperkenankan menghadap baginda kelmarin, Selasa pada jam 11 pagi tapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Bagaimanapun perkara ini sudah dimaklumkan kepada baginda menerusi perbualan telefon dan saya mendoakan afiyah (kesembuhan) Tuanku.

"Dengan sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan, in bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh," ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, maklumat terperinci berhubung perkara itu dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai jumlah sokongan yang diterimanya, Anwar enggan mengulas lanjut.

"Perkara ini dah plan sejak beberapa bulan lalu. Jumlahnya kukuh dan meyakinkan, jauh dari majoriti kecil. Mengapa saya tak mahu sebut? Sebab saya meletakkan penghormatan kepada kedudukan Tuanku dan sepatutnya perkara terperinci ini dimaklumkan kepada baginda dahulu," ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut mengalu-alukan kerjasama dengan Muhyiddin dalam kerajaan baharu tersebut.

"Saya tak ada masalah peribadi dengan beliau. Kesediaan beliau bekerjasama akan membantu peralihan itu aman dan teratur. Andai beliau bersedia, beliau boleh berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai," tambahnya.

Untuk rekod, Anwar dan Wan Azizah pada 24 Februari lalu menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara bagi memaklumkan berhubung perkembangan politik semasa tanah air.

Ia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain