suria

Kakitangan positif Covid-19, UOB Malaysia Cawangan Kepong ditutup sementara waktu

UOB Malaysia Cawangan Kepong ditutup sementara waktu selepas seorang kakitangannya diuji positif Covid-19. Foto: Media Sosial

SEBUAH bank di Kepong ditutup sementara waktu selepas seorang kakitangannya diuji positif Covid-19.

Menerusi satu kenyataan, United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) berkata kakitangannya yang merupakan pegawai gadai janji di cawangan Kepong, telah melawat Lahad Datu dan Semporna di Sabah antara 10 hingga 13 September 2020.

"Kami telah menjalankan pengesanan kontak dan semua rakan sekerja termasuk pelanggan yang bersentuhan rapat dengan kakitangan berkenaan, mereka semua sedang dihubungi.

"Mereka diminta untuk menjalani kuarantin diri selama 14 hari sementara mereka memantau kesihatan mereka dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa," katanya sambil menambah penutupan cawangan itu merangkumi akses kepada mesin perbankan layan dirinya.

UOB Malaysia berkata bank itu telah melaksanakan langkah berjaga-jaga yang disyorkan oleh kerajaan di premisnya untuk memastikan keselamatan orang ramai.

Cawangan itu akan tetap ditutup bagi pembersihan premis dan akan dibuka semula selepas menerima kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kesihatan.

Bank itu meminta pelanggan yang ingin berurusan dengan perkhidmatan perbankan, untuk ke cawangan terdekat di Damansara Uptown atau Kota Damansara, atau mana-mana cawangan lain. - BERNAMA

Artikel Lain