suria

Malaysia catat 82 kes Covid-19 pada Selasa, Kluster Bangau-Bangau pula dikesan di Semporna

Malaysia merekodkan 82 kes positif Covid-19 pada Selasa. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 82 kes baharu, menjadikan keseluruhan 10,358 kes setakat Selasa.

Jumlah kes dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 665 kes di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

Daripada 82 kes baharu yang telah dilaporkan, 10 merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan sembilan warganegara dan seorang bukan warganegara.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 57 kes baharu pada Isnin, 51 daripadanya kes tempatan

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 72 kes penularan tempatan, 60 kes melibatkan warganegara dan 12 kes melibatkan warga asing.

"Di Sabah, terdapat 60 kes dengan 41 kes melibatkan Kluster Benteng Lahad Datu, enam kes daripada Kluster Pulau, enam kes daripada Kluster Selamat, lima kes Kluster Bangau-Bangau, satu kes saringan komuniti dan satu kes saringan rujukan Hospital Queen Elizabeth.

"Di Kedah, 10 kes dilaporkan pada hari ini dengan sembilan kes daripada Kluster Sungai dan satu kes saringan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran di Kota Setar.

"Di Selangor, satu kes saringan sebelum pembedahan di sebuah pusat perubatan. Di Sarawak, satu kes saringan bergejala di Hospital Umum Sarawak," katanya dalam sidang media pada Selasa petang.

Menurut Dr Noor Hisham, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 130 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 130 kes," ujarnya.

Sehingga hari ini, 168 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 9,563 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, sembilan kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga memaklumkan Sabah turut merekodkan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Bangau di Semporna.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain