suria

Sorok dadah di bra, seluar dalam seludup ke Australia... pramugari rakyat Malaysia dipenjara

Seorang pramugari rakyat Malaysia dipenjara kerana menyeluduh dadah ke Australia. - foto Grafik The Star

SEORANG pramugari yang ditahan kerana menyeludup dadah jenis heroin bernilai jutaan dolar di dalam pakaian dalamnya pada tahun lepas, dikenakan hukuman penjara di Australia.

Mahkamah di Australia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara sehingga sembilan tahun dan enam bulan ke atas Zailee Zainal selepas didapati bersalah.

Bagaimanapun, ibu tiga anak berusia 40 tahun itu layak untuk perintah parol selepas menjalani hukuman selama tiga tahun.

Menurut media Australia, hakim, Michael Cahill berkata, Zailee berhak untuk mendapatkan pertimbangan kerana terdesak untuk membiayai bil perubatan anak perempuannya yang tinggi.

Pasukan Sempadan Australia menahan Zailee pada 2019, selepas heroin bernilai jutaan dolar ditemui disembunyikan di dalam bra dan seluar dalamnya.

Menerusi pendengaran mahkamah, dia ditawarkan sebanyak A$6,500 (RM19,359) sebagai upah untuk menyeludup heroin dengan nilai jalanan kira-kira A$3 juta (RM8.9 juta) ke Australia.

Hakim Cahill berkata, Zailee terdesak untuk mengumpul dana bagi membiayai kos pembedahan anak perempuannya.

"Terdapat budi bicara untuk menjatuhkan hukuman. Anda merasakan anda tiada pilihan lain selain daripada melakukan jenayah," kata hakim dipetik sebagai berkata.

Zailee yang berkhidmat dengan Malindo Air direkrut oleh sindiket dadah selepas mendapati dia terdesak untuk mendapatkan wang.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Zailee sebelum ini menjual brownies dan Tupperware secara kecil-kecilan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

Setelah menggunakan pelbagai cara untuk mengumpul dana, dia juga memohon bantuan syarikat penerbangan itu untuk menghebahkan berita mengenai kesusahannya bagi mendapatkan sumbangan.

Susulan itu, seseorang individu yang dianggap kenalan kemudian menghubunginya dan menawarkan kerja untuk membawa 'ubat'.

"Saya terdesak dan ketika itu sanggup melakukan apa saja," kata Zailee bagi pembelaannya.

Menerusi pendengaran mahkamah, Zailee menjalani latihan untuk melakukan tugas tersebut.

Latihan itu termasuk belajar bagaimana bercakap menggunakan kod dan berjalan dengan pakej ubat yang diletakkan di celah kakinya.

Antara Oktober 2018 dan Januari 2019, Zailee telah melakukan lapan perjalanan ke Australia, menyeludup sejumlah lebih 4 kilogram heroin dengan nilai jalanan kira-kira A$3 juta (RM8.9 juta). - The Star

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain