“Jelas apa yang saya jangka berlaku sedang berlaku” - Tun M dakwa sokongan Umno kepada Anwar bersyarat

Dedah Ahli Parlimen Langkawi itu, apa yang sedang berlaku ketika ini pernah beliau nyatakan kepada Muhyiddin sebelum ini.

PENGUMUMAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa sudah memperoleh majoriti bagi menubuhkan kerajaan baharu ternyata mengejutkan ramai.

Pada Khamis, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengeluarkan satu kenyataan bagi mengulas hal itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Poster majlis angkat sumpah, ucap tahniah kepada Anwar disahkan palsu

Menurut Dr Mahathir, beliau menjangkakan bahawa sokongan dari Umno kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bersyarat adalah sah.

Ujarnya, perkara itu jelas menerusi kenyataan dikeluarkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selepas Anwar membuat pengumuman pada Rabu.

Tambahnya, sokongan yang diberikan Umno kepada Anwar juga pasti bersyarat walaupun ia tidak diumum.

"Hari ini, jelas apa yang saya jangka berlaku sedang berlaku dan kenyataan Ahmad Zahid semalam mengesahkan bahawa sokongan dari Umno memang bersyarat.

"Sokongan Umno kepada Anwar juga pasti bersyarat walau tidak diumum. Walaupun Anwar kata yang dia tidak menerima sokongan dari enam ahli Parlimen yang menghadapi kes-kes mahkamah, sudah pasti yang memberi sokongan kepada Anwar mempunyai kesetiaan yang lebih kepada Najib dan Ahmad Zahid.

"Jika kemahuan dua pemimpin mereka ini tidak dipenuhi, maka mereka akan bertindak sama seperti mereka lakukan kepada Muhyiddin dan menarik balik sokongan dan jatuhkan kerajaan," katanya.

Dedah Ahli Parlimen Langkawi itu, apa yang sedang berlaku ketika ini pernah beliau nyatakan kepada Muhyiddin sebelum ini.

"Ketika itu saya membuat pendirian menolak kerjasama dengan UMNO secara en-bloc kerana itu bermakna saya terpaksa menerima kesemua Ahli Parlimen dari Umno, termasuk orang yang menghadapi puluhan kes di mahkamah.

"Tetapi Muhyiddin berkata, dia sanggup bekerjasama dengan Umno secara en-bloc walaupun dia boleh diugut oleh Umno jika kemahuan mereka tidak tercapai.

"Apabila Najib didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di atas tujuh tuduhan, kita dapat lihat bagaimana penyokongnya mula memperlihatkan rasa tidak puas hati terhadap Muhyiddin," katanya.

Beliau berkata, sama ada Muhyiddin memiliki majoriti ataupun tidak hanya boleh dibuktikan melalui undian di Parlimen.

"Kerana itu, sejak dari perisytiharan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, saya telah meminta supaya satu undi tidak percaya dapat diusulkan di Parlimen untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jika Muhyiddin berjaya mengalahkan undi tidak percaya itu maka selepas itu tidak timbul lagi isu dia tidak dapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Jika dia kalah, ahli Dewan Rakyat berpeluang mengusulkan calon Perdana Menteri yang baru dan sesiapa yang mendapat majoriti akan dapat menerajui kerajaan tanpa terlalu banyak tekanan berkaitan legitimasi," ujarnya.

Katanya, sekiranya perkara itu dapat dilakukan, ia pasti dapat mengelak daripada mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika wabak koronavirus (Covid-19) belum berakhir. - SINAR HARIAN.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain