suria

Bukan hanya kos penginapan, kini warga asing masuk Malaysia perlu bayar caj penuh kuarantin RM4,700

klia 3

BUKAN lagi sekadar kos penginapan yang perlu ditanggung warga asing yang menjalani kuarantin setibanya mereka di Malaysia.

Semua individu bukan warganegara yang masuk dari semua pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin berkuat kuasa pada

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 iaitu RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulai 1 Jun, warga asing masuk Malaysia tanggung sendiri kos penginapan kuarantin wajib 14 hari

"Bagi individu kedua dan ketiga yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manaka bagi anak berumur bawah enam tahun kos penginapan adalah percuma.

"Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin bagi warganegara Malaysia. Mereka perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini. Bagaimanapun, kos pengoperasian sebanyak RM2,600 kekal ditanggung oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sebelum ini memutuskan bahawa caj kuarantin bagi semua individu yang memasuki pintu masuk negara adalah di bawah tanggungan sendiri dan arahan itu dimulakan dengan pungutan caj kepada anak kapal bukan warganegara sahaja.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 33,534 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan sejak 24 Julai lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,005 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 103 individu dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 25,426 individu didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Mengenai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 137 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 111 individu telah dikompaun, 25 direman dan seorang dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (39), penjarakan fizikal (32), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (25), disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran (14).

"Gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (10), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (tujuh), tidak memakai pelitup muka (enam) dan empat premis beroperasi tanpa kebenaran," katanya. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain