suria

“Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh, saya Perdana Menteri yang sah” - Muhyiddin jawab dakwaan Anwar

Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional masih teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah

DAKWAAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu terus diperkatakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional masih teguh dan beliau adalah Perdana Menteri yang sah.

Katanya, Anwar perlu membuktikan dakwaan berhubung mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan menurut proses dan kaedah yang ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Ini bukan kerajaan pintu belakang" - Anwar umum peroleh majoriti kukuh ahli parlimen, layak jadi PM

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kasihan, terkejut... PM nampak penat semasa sampaikan perutusan khas - "Abah minum dulu, nanti sambung balik"

"Tanpa melalui proses itu, kenyataan Datuk Seri Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

"Sehingga dibuktikan sebaliknya, kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhyiddin turut memohon rakyat bertenang menghadapi situasi terbaharu ini.

"Insya-Allah, isu ini akan ditangani dengan baik menurut proses undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN kekal berdiri teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Gabungan parti itu juga menyangkal dakwaan Presiden PKR berkenaan yang kononnya mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Guan Dee Kohoi.

Menurut kenyataan itu, dakwaan Anwar tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang beliau lakukan berkali-kali sebelum ini.

"Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19," kata mereka.

"Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat," menurut kenyataan itu.

Anwar dalam sidang media pada Rabu mendakwa mendapat sokongan yang 'kukuh dan meyakinkan' daripada ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN.

Ketua Pembangkang itu juga berkata, beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain