suria

Tak serik! Aktiviti di pub, kelab malam rekodkan 294 kes... kesalahan tertinggi ingkar PKPP

Kesalahan membabitkan aktiviti di pub dan kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan PKPP tertinggi pada Sabtu dengan 294 kes direkodkan.

SEBANYAK 294 kes kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membabitkan aktiviti di pub dan kelab malam direkodkan pada Sabtu.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia adalah kesalahan tertinggi ingkar PKPP pada Sabtu. Mereka yang terbabit dengan aktiviti itu merupakan antara 512 individu yang ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya.

Antara kesalahan lain ialah penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), 'private party' atau pesta persendirian (56), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14) dan premis beroperasi lebih masa (8).

ARTIKEL BERKAITAN: "Batal terus lesen!" - Konon nak sambut merdeka, 600 ditahan di kelab malam... rekod kompaun terbesar sepanjang PKPP

"Daripada jumlah yang ditahan, 452 individu dikompaun, 59 individu direman dan seorang dijamin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata pihak berkuasa berjaya menangkap 80 pendatang tanpa izin, enam penyeludup dan seorang tekong melibatkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan PDRM (57), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (15)," kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.

Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 24 Julai lepas hingga Sabtu, seramai 28,063 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari 32 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 17,807 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kelab malam, pub, ingkar, PKPP, tertinggi

Artikel Lain