suria

Duduk dalam rumah tak tenteram, nak keluar pun hati tak tenang! Penduduk bimbang kediaman mudah dinaiki air... sampai bila perlu takut hujan?

Kawasan rumah di Taman Sri Gading, Rawang, segera dinaiki air setelah hujan kira-kira 15 minit.

SENTIASA hidup dalam ketakutan.

Itulah yang dialami kira-kira 150 pemilik rumah yang tinggal di kawasan Taman Sri Garing, Rawang, Selangor apabila rumah mereka sering dinaiki air yang kadangkala mencecah tiga kaki.

"Awal pagi Selasa lalu saya bangun pukul 3 pagi selepas dengar bunyi hujan, saya terpaksa berjaga sepanjang malam untuk tunggu hujan reda sebab takut air masuk.

"Pada sebelah petangnya hujan lagi dan air masuk sampai ke bahagian tempat letak kereta," ujar seorang penduduk, Syahmini Ann.

Dia yang masih trauma akibat kejadian rumah dimasuki air dua bulan lepas berkata pada ketika itu keluarganya mengalami kerugian teruk apabila barangan dalam rumah serta keretanya rosak dimasuki air.

"Sebelum ini air masuk sampai ke bilik stor, dapur dan sehingga ke dalam bilik kami, jadi kami terpaksa buang banyak perabot.

"Jadi kami kini hidup dalam keadaan tidak tenteram, sepupu saya tadi sedang dalam dewan bedah, apabila diberitahu yang air mula naik, jadi dia terpaksa minta izin untuk pulang," katanya.

Selain membawa bersama haiwan berbahaya seperti ular, banjir yang sering melanda taman ini turut mengakibatkan kerosakan jalan raya.



Sementara itu seorang lagi penduduk Nurhashikin Yahaya berkata dia terus pulang ke rumah apabila diberitahu bahawa air mula naik setelah kira-kira 15 minit hujan.

"Air naik terlalu pantas sekali, dan saya sebagai seorang ibu sudah tentu risau memikirkan keselamatan anak-anak di rumah.

"Bukan sebab air naik sahaja, risau binatang berbahaya juga, sebab setiap kali banjir ular akan masuk dalam rumah," ujarnya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Persatuan Taman Sri Garing Ravinder Singh berkata isu banjir ini sudah seringkali diajukan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS), namun sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil.

“Penduduk kini sudah mula rasa marah sebab rumah mereka dimasuki air berkali-kali, dan bayangkan kebimbangan kami setiap kali hari hujan.

"Jadi kami betul-betul berharap mereka akan ambil tindakan segera supaya kita dapat elak perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Zon 16, MPS Saravanan Muniandy ketika dihubungi berkata banjir berpunca daripada limpahan air dari sungai berdekatan apabila hujan lebat.

Menurut beliau lagi isu banjir ini sudah berlaku hampir lima kali sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Ahli Majlis.

“Saya ada menerima laporan daripada penduduk termasuk penduduk Taman Garing yang turut terkesan dan saya juga sudah berjumpa dengan jurutera daerah sebelum ini.

“Kami telah mencadangkan kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran untuk melakukan kerja-kerja mendalamkan sungai berdekatan namun mereka memerlukan peruntukan dari kerajaan negeri.

“Saya akan berjumpa dengan Bahagian Infrastruktur, Jabatan Kejuruteraan, MPS untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang bila usaha ini boleh dilakukan,” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain