suria

Covid-19: 9 kes baharu direkodkan, kluster restoran di Titiwangsa KL dikesan

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19.

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan sembilan kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,249 kes setakat Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 179 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada sembilan kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import, jangkitan di luar negara yang melibatkan empat bukan warganegra.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada lima kes penularan di dalam negara, empat kes dalam kalangan warganegara dan satu warga asing.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 13 kes yang telah pulih Covid-19 pada Jumaat dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,945 kes.

"Sehingga kini, terdapat tujuh kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memberitahu, terdapat satu kluster baharu yang dikesan di sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur iaitu Kluster Maju.

Setakat ini, tiga kes dikesan positif Covid-19.

"Dua kes pertama kluster ini iaitu kes ke-9,176 dan kes ke-9,177 telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020. Mereka merupakan pekerja di restoran tersebut yang dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan yang telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan di mana kes baharu kluster ini yang merupakan pelanggan restoran tersebut telah dikesan. Beliau mengalami gejala sakit tekak dan sakit kepala sejak 17 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Setakat ini, seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 pelanggan. Daripada jumlah itu, tiga kes dikesan positif Covid-19; dan 669 individu negatif," katanya.

Beliau menambah, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat terus dijalankan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain