suria

Penumpang penuh... harga tiket penerbangan perlu kembali kepada asal sebelum PKP, tegas Ismail Sabri

Kerajaan meminta syarikat penerbangan mengembalikan harga tiket penerbangan kepada asal. Foto Bernama

HARGA tiket penerbangan perlu kembali kepada asal kerana kerajaan telah membenarkan jumlah penumpang berkapasiti penuh. tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu memberitahu, pihaknya mengambil maklum mengenai rungutan orang ramai berhubung harga tiket penerbangan yang tinggi terutama bagi penerbangan domestik antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

"Di peringkat awal itu, kita memahami harga tinggi kerana arahan yang dikeluarkan adalah mereka (syarikat penerbangan) tidak boleh mengambil penumpang dengan kapasiti penuh kerana penjarakkan sosial di dalam pesawat, iaitu 66 peratus sahaja.

"Tetapi kita akhirnya kita telah membenarkan syarikat penerbangan mengambil penumpang kapasiti penuh, tiada lagi penjarakkan sosial.

"Oleh itu, mesyuarat berpendapat bahawa harga tiket perlu kembali kepada asal sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan. Tak ada alasan lagi mereka kurang kapasiti penumpang kerana kita telah membenarkan kapasiti penuh," katanya pada sidang media, petang Jumaat.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia diminta untuk berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan supaya mengembalikan harga tiket kepada asal.

"Kita juga meminta supaya Suruhanjaya Penerbangan berbincang dengan syarikat penerbangan untuk memberi harga tiket yang istimewa kepada pelajar dan guru sekolah, dan juga pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi kerana sekolah akan dibuka, dah pun dibuka.

"Malah kita difahamkan institusi pengajian tinggi juga akan dibuka. Jadi, tentu saja melibatkan ramai pelajar, sama ada pelajar dari Sabah, Sarawak untuk belajar di universiti-universiti di Semenanjung, begitu juga pelajar di Semenanjung akan ke Sabah dan Sarawak.

"Oleh itu, satu harga istimewa akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang akan memulakan pengajian mereka nanti," katanya.

Beliau turut memberitahu, Kementerian Pengangkutan diminta untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian tersebut.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain