suria

Media Prima keluarkan notis pemberhentian kepada 300 kakitangan

Media Prima menamatkan perkhidmatan 300 orang kakitangan dengan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini. Foto: The Star

KUMPULAN media bersepadu utama Malaysia, Media Prima Bhd (Media Prima), mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada kira-kira 300 orang pekerja, dengan tarikh akhir pekerjaan pada 31 Julai ini.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Media Prima memaklumkan kumpulan dan wakil-wakil daripada lima kesatuan sekerja telah mencapai persetujuan dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan fasa seterusnya transformasi perniagaan kumpulan seperti yang telah diumumkan pada 4 Jun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Media Prima umum penstrukturan semula, jamin warga kerja diberi pampasan adil dan saksama

"Perbincangan tersebut bertujuan memastikan proses adalah telus dan semua obligasi kepada kakitangan yang terjejas diberi keutamaan.

"Semua pihak memahami keperluan transformasi perniagaan dan juga bersetuju dengan mekanisme pampasan yang adil serta saksama kepada para kakitangan yang terjejas seperti termaktub dalam undang-undang, perjanjian-perjanjian bersama kesatuan sekerja masing-masing dan kontrak pekerjaan," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Media Prima mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan fasa transformasi perniagaan yang seterusnya berikutan perubahan yang mengganggu dalam sektor media dan keadaan ekonomi makro yang mencabar, dijejaskan lagi oleh faktor pemboleh ubah yang tidak diketahui akibat pandemik Covid-19.

"Faktor-faktor ini telah memaksa kumpulan untuk mempercepat pelaksanaan fasa berikutnya dalam proses transformasinya. Ia merangkumi semakan semula model pendapatan dan pengurusan kos yang bersesuaian.

"Inisiatif-inisiatif ini melibatkan perubahan operasi di unit-unit terpilih untuk mengatasi ketakcekapan kos yang timbul dari pertindihan kerja.

"Transformasi perniagaan ini bertujuan menjadikan Kumpulan sebagai model perniagaan yang mantap dan mampan untuk jangka masa sederhana dan jangka masa panjang," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Media Prima, kakitangan

Artikel Lain