suria

Covid-19: Orang awam dinasihatkan pantau kesihatan diri jika pernah kunjungi Pasar Umum Sandakan antara 14 hingga 28 Jun

Kes di pasar Sandakan itu adalah satu daripada dua kes penularan dalam negara yang dilaporkan hari ini. Foto: Bernama

ORANG awam yang pernah mengunjungi pasar borong ikan dan pasar ikan di Pasar Umum Bandar Sandakan dalam tempoh 14 hingga 28 Jun lalu dinasihatkan menjaga dan memantau kesihatan diri susulan pengesanan kes positif Covid-19 di pasar itu.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Wong Foo Tin, dalam kenyataan malam Isnin berkata sekiranya bergejala, mereka yang berkenaan perlu segera tampil mendapat rawatan di Hospital Duchess of Kent atau Klinik Kesihatan Kawasan Sandakan untuk menjalani saringan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga kes positif Covid-19 pada Isnin, kesemuanya melibatkan warganegara

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar pada Isnin memaklumkan kes di pasar Sandakan itu adalah satu daripada dua kes penularan dalam negara yang dilaporkan hari ini.

Malaysia pada Isnin melaporkan tiga kes baharu jangkitan Covid-19 iaitu dua kes penularan dalam negara - masing-masing satu kes di Selangor dan di Sabah - manakala satu lagi kes import.

Kes yang dikesan semasa saringan di tempat kerja iaitu di pasar di Sandakan, adalah kes pertama direkodkan di daerah itu setelah dua bulan berstatus zon hijau. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain