suria

Pelajar bergejala sahaja pakai mask, paling penting jarak sosial elak jangkitan Covid-19 di sekolah - Dr Noor Hisham

Guru-guru sedang melakukan persediaan mengikut garis panduan sebelum pembukaan semula sekolah. Foto Bernama

PEMAKAIAN topeng muka ketika ke sekolah adalah digalakkan untuk pelajar-pelajar yang mempunyai gejala seperti batuk dan selesema.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, apa yang paling penting adalah pelajar mengamalkan penjarakkan sosial, terutama ketika waktu rehat.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

"Kita melihat dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) secara keseluruhan.

"Apa yang penting, kita menyedari bahawa pelajar akan keluar bersama-sama sewaktu rehat, sebab itulah kita tak benarkan mereka makan di kantin.

"Mereka boleh mengambil makanan di kantin dan bawa untuk makan di kelas. Tapi apa yang penting, sesiapa yang ada simptom, mereka digalakkan untuk memakai topeng muka.

"Selain itu, kita melihat kepada penjarakkan sosial. Kalau mereka patuhi penjarakkan sosial, mereka boleh mengurangkan risiko terkena jangkitan lebih daripada 65 ke 70 peratus," katanya dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada petang Jumaat.

Dr Noor Hisham menambah, hasil pemantauan yang dilakukan, pihaknya berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh sekolah-sekolah sebelum ianya dibuka sedikit masa lagi.

"Bila melihat kepada persediaan, kami gembira melihat susunan yang telah dibuat seperti di kantin, tandas dan sebagainya.

"Kita minta pelajar amalkan penjarakkan sosial dan kerap mencuci tangan menggunakan sabun. Ini yang kita nasihat setiap hari dan harap pelajar patuhinya.

"Bila dibuka, kita akan lihat sebaik mana kita boleh belajar dari pengalaman ini dan perbaiki dari masa ke semasa," ujarnya lagi.

Pada Rabu, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Rabu mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan awam adalah pada 24 Jun 2020.

Ia membabitkan kira-kira 500,000 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar peperiksaan antarabangsa.

Buku Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah juga turut diedar supaya setiap SOP yang ditetapkan dipatuhi semua yang terlibat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

topeng muka, penjarakkan sosial

Artikel Lain