suria

Malaysia catat 33 kes baharu, wanita 85 tahun meninggal dunia di rumah disahkan korban ke-119 Covid-19

Malaysia catat 33 kes pada Jumaat.

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 33 kes baharu, menjadikan keseluruhan 8,402 kes setakat Jumaat.

Daripada 33 kes baharu yang telah dilaporkan, 16 merupakan kes import jangkitan luar negara dan daripada 17 kes penularan dalam negara, 14 kes melibatkan individu bukan warganegara dan 3 kes warganegara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes sifar Covid-19 selama 28 hari, mampukah Malaysia?

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, satu kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 119 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan satu kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 119 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jumaat petang.

Sehingga hari ini, 103 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 7,168 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, empat kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut merupakan perincian kes kematian terbaharu:

- Kes-119 (kes 8,370) perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun, beliau meninggal dunia pada 11 Jun 2020 di rumah beliau dan jenazah di bawa ke Hospital Keningau, Sabah dan saringan mendapati dia positif Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain