suria

Malaysia catat kes terendah sejak PKP, hanya 7 kes baharu positif Covid-19 hari ini!

Malaysia mencatatkan tujuh kes positif Covid-19 baharu pada Isnin. Foto: Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan tujuh kes baharu, sekaligus menjadikannya jumlah terendah yang pernah dicatat setakat ini.

Sementara itu, jumlah kes keseluruhan adalah 8,329 kes setakat Isnin.

Selepas melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, kini Malaysia melalui tempoh pemulihan atau Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,518 kes di mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan

Daripada tujuh kes baharu yang telah dilaporkan, dua kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan luar negara, manakala lima kes penularan tempatan adalah di kalangan warga Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: 19 kes baharu Covid-19 libatkan 11 warganegara Malaysia, tiada kematian dilaporkan

Menurut Dr Noor Hisham, daripada lima kes membabitkan warganegara Malaysia itu, dua kes adalah kontak rapat kepada kes 8,294 di Sepang, Selangor; satu kes saringan tempatan dari kluster Depo Tahanan Imigresen Bukit Jalil; satu kes saringan pra-pemdedahan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Sabah; dan satu kes saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau juga memaklumkan, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 117.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak kekal 117 kes," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Isnin petang.

Sehingga hari ini, 20 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 6,694 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, enam kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM

Artikel Lain