suria

Gim, kompleks sukan dibenarkan operasi mulai 15 Jun... syaratnya jarak sosial 1 hingga 5 meter!

Gim antara yang dibenar beroperasi bermula 15 Jun ini.

SELAIN kebenaran rentas negeri untuk pulang ke kampung, ramai rakyat di negara ini ternanti-nanti keputusan bagi membolehkan mereka kembali bersukan seperti sedia kala.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perniagaan berasaskan sukan akan dibuka semula dengan dengan prosedur operasi standard (SOP) di bawah pengawasan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Mesyuarat khas menteri-menteri telah bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula sektor perniagaan berkaitan sukan seperti gimnasium, dewan tertutup seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker dan pusat-pusat sukan lain bermula 15 Jun ini.

"Bagaimanapun, pengendali perlu isi borang notifikasi di laman web Kementerian Perdagangan Antarbangsa dan Industri (Miti) mulai hari ini bagi rujukan SOP dan pemantauan oleh KBS.

"Mesyuarat juga bersetuju membenarkan orang awam melakukan sukan dan rekreasi yang tiada sentuhan di dalam dan di luar dewan bermula 15 Jun ini," ujar Ismail pada Isnin.

Dalam sidang media hariannya, Ismail turut memperincikan aktviti-aktviti dan jenis sukan yang dibenarkan selepas ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antaranya, sukan olahraga, sukan permotoran dua atau empat roda, paramotor, rekreasi dan riadah seperti senamrobik serta yoga dengan penjarakkan sosial satu hingga tiga meter.

Bagi latihan aktiviti sukan dinamik seperti bola sepak, hoki dan ragbi yang dimainkan secara berpasukan, ia memerlukan jarak sosial tiga hingga lima meter.

"Bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan ragbi, sukan pertempuran seperti karate, silat, taekwando, keputusan masih kekal bahawa ia tak boleh dimainkan secara permainan.

"Silat misalnya, boleh berlatih sendirian dengan jarak sosial, tapi tak boleh ada silat yang bertempur.

"Begitu juga bola, tak boleh ada perlawanan antara dua pasukan. Ini keputusan yang kita putuskan. Penjarakan sosial tiga hingga lima meter semasa latihan tersebut," ujarnya.

Kata Ismail, dia mahu mengingatkan semua pihak bahawa perlawanan, kejohanan dan pertandingan masih tidak dibenarkan bagi mengelakkan perhimpunan dalam jumlah ramai.

Bagi sukan melibatkan air dan kolam renang, ia juga masih tidak dibenarkan.

Bagi hal itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KBS akan terus berbincang bagi memperhalusi SOP sebelum ia dibuka semula.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain