Waktu rehat berperingkat, makan dalam kelas dan pemeriksaan suhu badan antara garis panduan ditetapkan untuk sesi persekolahan

Susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.

PEMERIKSAAN suhu badan di sekolah dan makan di dalam kelas pada waktu rehat antara kebiasaan baharu bakal diamalkan oleh pelajar apabila sekolah dibuka kelak.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata garis panduan itu menetapkan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan sekiranya mereka bergejala tindakan selanjutnya akan diambil.

ARTIKEL BERKAITAN: Garis panduan pembukaan semula sekolah diedar mulai esok

"Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius...pelajar ini akan diminta berehat dahulu bagi memastikan suhu badan mereka kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.

"Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Habibah Abdul Rahim.

Kebiasaan baharu itu antara kandungan dalam Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian itu pada Khamis.

Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Mohd Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai aspek penjarakan sosial ketika anak mereka di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan semua pelajar perlu makan di dalam kelas masing-masing.

"Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan yang ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu...kita akan menjarakkan waktu rehat," katanya.

Bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga, Mohd Radzi menjelaskan susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak satu meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.

Katanya, kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan antara satu sama lain bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.

Mengulas mengenai pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah pula, beliau berkata arah laluan pelajar akan ditanda dengan anak panah bagi mengelakkan pertembungan berlaku.

Selain itu, katanya, guru-guru juga tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut dititikberatkan oleh kementerian.

"Guru-guru tidak perlu risau mereka akan bersesak-sesak dalam bilik guru, kerana pihak sekolah perlu memastikan terdapat penjarakan sosial walaupun dalam bilik guru. Guru-guru yang dipindahkan dari bilik guru asal akan ditempatkan di bilik bersesuaian termasuklah pusat sumber dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kementerian turut mengeluarkan garis panduan sama bagi pelajar tinggal di asrama iaitu katil mereka dijarakkan satu meter malah dewan makan yang disediakan turut menitikberatkan penjarakan sosial antara pelajar.

Menurut beliau, apabila sekolah dibuka pihaknya melihat pelaksanaan garis panduan itu dan sekiranya terdapat ruang untuk penambahbaikan, ia akan dilakukan bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam keadaan selamat.

"Kita amat berharap anak-anak nanti apabila datang pastikan penjarakan sosial itu sentiasa diamalkan di sekolah dan sepanjang perjalanan mereka datang dan balik dari sekolah," kata Mohd Radzi.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Klik

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Artikel Lain