suria

“Orang luar dilarang masuk” - Semua penduduk termasuk warga asing di Taman Langat Murni, Langat Utama disaring selepas dikesan 20 kes Covid-19

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kerja-kerja pemasangan kawat duri di sekitar Pangsapuri Taman Langat Utama dan Pangsapuri Taman Langat Murni. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan ujian saringan terhadap semua penduduk di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama Bukit Changgang, Kuala Langat susulan terdapat 20 kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, langkah tersebut adalah sebagaimana prosedur KKM, di mana saringan akan dilakukan di lokaliti yang dikesan merekodkan kes positif Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 93 kes baharu Covid-19, angka kematian kekal 115

"Kalau lokaliti itu terlibat kes positif, apa yang kami lakukan adalah saring semua, termasuk warganegara dan bukan warganegara di dalam lokaliti itu.

"Kita saring semua orang kerana barangkali ada pendedahan bila pergi mereka ke kedai dan sebagainya," katanya menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media KKM petang Rabu.

Bagaimanapun jelas Dr Noor Hisham, kawasan yang berkenaan bukan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebaliknya ia adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran.

"Kita masih benarkan mereka (penduduk) masuk dan keluar tapi perlu mendaftar namun kita halang orang luar untuk masuk.

"Tapi ini bukan PKPD. Kalau PKPD, tiada sesiapa dibenarkan untuk keluar masuk dan kita akan menyediakan makanan untuk mereka.

"Di sini mereka masih boleh keluar tapi kita pastikan kita saring semua orang," ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata pihaknya melaksanakan PKP secara pentadbiran di kawasan tersebut selepas 20 warga asing yang bekerja dengan syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tinggal di taman berkenaan, disahkan positif Covid-19 pada Khamis lalu.

Tambahnya, polis bersama Pejabat Kesihatan Daerah sudah mengesan 114 kontak rapat kepada pesakit Covid-19 berkenaan pada Jumaat lalu, di mana kesemuany kini dikuarantin di dua lokasi iaitu Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain