suria

Seorang maut, van kawalan keselamatan bertembung lori tangki

Seorang maut dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu. Foto Facebook

SEORANG penumpang maut selepas van kawalan keselamatan membawa wang yang dinaiki mangsa, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tanjung Malim ke Behrang tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad memaklumkan, kemalangan itu menyebabkan aliran trafik di kedua-dua arah mengalami kesesakan sejauh dua kilometer sejak kira-kira 12.30 tengah hari Rabu.

“Semua laluan arah utara dan selatan terhalang kerana lori tangki itu termasuk ke laluan bertentangan. Berikutan itu, kenderaan ke utara dilencongkan ke Plaza Tol Tanjung Malim dan arah selatan diarah keluar di Tol Plaza Behrang, ” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 12.33 tengah hari sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi.

Jurucakap itu berkata pemandu lori tangki itu dilaporkan selamat dan ketika kejadian terdapat tiga mangsa yang menaiki van terbabit dengan dua daripadanya telah berjaya dikeluarkan.

Difahamkan, muatan wang yang dibawa van keselamatan itu telah dibawa ke bilik kebal Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim dan kemalangan itu tular di media sosial.

Sementara itu, Sulizmie Affendy berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu lori tangki yang membawa muatan diesel dari Klang, Selangor, ke Slim River gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar belakang van kawalan keselamatan.

Katanya akibat daripada itu, pemandu van kemudian telah melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori jenis Isuzu yang membawa muatan sayur.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Iruwan, 39, duduk di bahagian belakang van manakala pemandu mengalami cedera parah dan penumpang hadapan cedera ringan.

"Kedua-dua pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan akibat daripada pelanggaran itu," katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain