suria

"Tindakan seorang boleh akibat bencana sekampung” - Ismail Sabri nasihat orang ramai jangan ambil kesempatan daripada kelonggaran

Tiada lagi perjalanan rentas negeri dibenarkan selepas ini.

KERAJAAN tidak lagi berkompromi isu rentas negeri susulan kes terbaharu melibatkan seorang wanita hamil positif Covid-19.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis menetapkan tiada lagi perjalanan rentas negeri dibenarkan selepas ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita sarat mengandung dari zon merah balik ke Kelantan untuk bersalin disahkan positif Covid-19

"Akibat rentas negeri, semalam kita baca seorang wanita didapati positif Covid-19 selepas sampai di kampung. Sebab tu kita tidak ada kompromi dan tolak ansur lagi dalam soal rentas negeri.

"Wanita yang dibenarkan pulang ke kampung, ingin bersalin di kampung. Jadi polis benarkan atas alasan kesihatan. Tiba-tiba didapati positif.

"Kita difahamkan sebelum dia balik ke rumah, dia dah berjumpa berbagai-bagai orang tertentu, keluarga yang dekat dan jauh dan sebagainya.

"Oleh kerana rindu, lama tak jumpa, berpelukan antara satu sama lain, itu norma lama, bukan norma baharu," ujarnya.

Menurut Ismail Sabri, keputusan positif Covid-19 wanita itu sekali gus menyebabkan seluruh warga kampung terlibat tertakluk kepada saringan dan sebagainya.

Malah katanya, kampung-kampung tersebut diangap seperti 'lockdown' biarpun tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Walaupun bukan PKPD, tetapi macam PKPD secara pentadbiran. Akhirnya menyusahkan semua kampung. Kita tidak tahu berapa ramai warga emas terlibat di kampung tersebut, risiko jangkitan amat tinggi pada warga emas dan kanak-kanak.

"Ini bermakna walaupun tindakan kita seorang, tetapi ia boleh menyebabkan bencana kepada seluruh kampung yang akhirnya akan memberikan kesan kepada nyawa penduduk di kampung tersebut," ujarnya.

Saran Ismail, jangan ambil kesempatan atas kelonggaran yang diberi kerajaan dan sebaik-baiknya usahlah pulang ke kampung dalam tempoh seperti ini.

"Sebab itu saya kata walaupun kerajaan bagi sedikit kelonggaran, tapi tidak bermakna kita perlu mengambil ini kesempatan untuk membuat apa sahaja yang kita suka.

"Yang penting kita perlu fikir sendiri adakah dengan pulangnya kita ke kampung, akan memberikan kesan kepada datuk nenek kita, keluarga, anak cucu kita dan sebagainya.

"Kalau kita ingin menyelamatkan mereka, sebaik-baiknya nasihat saya tak payah balik kampung, beraya di rumah kita di mana sahaja kita berada," katanya lagi.

Menerusi laporan mStar pada Rabu, wanita hamil 35 minggu itu melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang, Selangor ke Kuala Krai, Kelantan.

Difahamkan, pergerakan wanita itu bermula dari Ampang dan dia telah singgah unuk berbuka puasa di kediaman nenek belah suaminya di Machang.

Selepas itu, dia bergerak ke Kampung Mengkebang, kediaman ibu bapa suaminya sebelum menginap di rumah keluarga di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai.

Dia kemudiannya membuat pemeriksaan kehamilan di sebuah klinik pada Selasa sebelum disahkan positif Covid-19 di Hospital Sultanah Zainab, Kota Bharu.

Sehingga kini, 11 kontak rapat telah membuat saringan dan kini melakukan kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain