suria

“Jika yang datang ke rumah positif, mungkin kita akan dijangkiti” - Padah bersalaman ketika raya, Dr Noor Hisham ulangi penting sambut Aidilfitri secara tertutup

Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi SOP bagi mengelakkan penularan Covid-19. Gambar sekadar hiasan.

SUNGGUHPUN kerajaan memberi 'lampu hijau' dengan membenarkan aktiviti ziarah pada hari raya pertama sempena Aidilfitri ini secara bersyarat, namun orang ramai tetap diingatkan untuk mengamalkan normal baharu bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

"Walaupun kerajaan membenarkan ziarah pada hari raya pertama tetapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai untuk patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) iaitu penjarakkan sosial, elakkan bersentuhan dan bersalaman.

"Itu cara kita nak elakkan jangkitan sebab kalau mereka yang positif datang ke rumah dan bersalaman dengan kita, mungkin kita akan dijangkiti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lupakan angka 20, raya kali ini amat unik” - KP Kesihatan saran ‘Aidilfitri tertutup’

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP ketika Aidilfitri? Bersedia terima polis sebagai ‘tetamu’ hari raya

"Setiap rumah yang kita pergi, pastikan kita cuci tangan dan kalau boleh elakkan perhimpuan di kawasan sempit, dan bila bersembang, pastikan penjarakkan dan jaga kebersihan diri," ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sewaktu sidang media pada Rabu.

Tambah Dr Noor Hisham, adalah lebih bagus sekiranya orang ramai hanya merayakan sambutan Aidilfitri secara tertutup bersama kaum keluarga sendiri di kediaman masing-masing.

"Lebih bagus lagi kita elakkan kunjung mengunjung dan elak pulang ke kampung dari zon merah ke zon hijau.

Kalau kita buat perkara ini, kita boleh elakkan jangkitan kepada kanak-kanak dan warga emas. Ini yang kita bimbangkan.

"Kalau boleh elak ziarah kubur dan elakkan kunjung mengunjung. Sambutlah perayaan secara tertutup di rumah dengan keluarga kita. Ini bukan dasar tapi nasihat kepada mereka yang balik kampung dan merayakan Aidilfitri," ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan, berkemungkinan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 selepas sambutan Aidilfirti sekiranya orang ramai tidak mematuhi SOP yang disyorkan.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Hari Raya Aidilfitri tidak memberi tiket untuk orang ramai bebas meraikan perayaan itu biarpun di dalam kawasan kediaman masing-masing.

Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membuat rondaan tanpa mengira waktu dalam musim tersebut bagi memastikan SOP dipatuhi.

Artikel Lain