suria

“Kontak mereka begitu ramai...” - Bentuk kluster baharu, pengawal keselamatan warga asing wajib buat swab test

Kerajaan memutuskan semua pengawal keselamatan warga asing wajib menjalani swap test Covid-19.

KEWUJUDAN kluster baharu pengawal keselamatan yang didedahkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Khamis jelas menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Justeru kerajaan memutuskan semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan untuk melakukan swab test.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kontak terdedah risiko dijangkiti Covid-19 terlalu ramai.

“Pengawal keselamatan ini mempunyai hubungan kontak yang begitu ramai terutama kalau jaga pusat membeli-belah misalnya, mereka yang akan check suhu badan kita sebelum masuk.

“Jadi tentu hubungan terlalu banyak, lebih-lebih lagi mereka (pengunjung) yang masuk dalam supermarket atau pusat membeli-belah tidak didaftarkan, jadi sukar buat pengesanan.

“Maka mesyuarat bersidang pada hari ni memutuskan semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan buat saringan kesihatan swab test,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, petang Jumaat.

Jelas beliau lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan arahan mengenai perkara ini.

“Pengawal keselamatan dibawah KDN, jadi KDN akan mengeluarkan arahan supaya diwajibkan (melakukan swab test),” katanya.

Mengenai penutupan pusat beli-belah di Cheras, Ismail Sabri berkata KKM akan memberikan pandangan mereka berkaitan perkara itu.

“Sama ada tutup atau tidak KKM akan memberikan pandangan dan nasihat mereka.

“Kalau KKM rasa perlu ditutup maka tindakan ditutup akan diambil,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pengawal keselamatan yang disahkan positif Covid-19 itu telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“KKM dah asingkan semua pengawal keselamatan terlibat Covid-19. Mereka dah dihantar ke hospital untuk dirawat.

“Manakala kontak mereka telah dibuat swab test,” katanya.

Sehingga 7 Mei, pukul 12 tengah hari, 10 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kluster itu membabitkan sembilan warga Nepal dan seorang rakyat tempatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain