suria

Pergerakan rentas negeri bermula esok, ada syarat perlu dipatuhi termasuk penggunaan tandas di R&R

Perjalanan rentas negeri bermula 7 hingga 10 Mei 2020.

KEBENARAN pergerakan antara negeri yang diumumkan kerajaan bermula 7 hingga 10 Mei ini memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia yang terlibat.

Namun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya pada Rabu turut memperincikan syarat-syarat sepanjang pergerakan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM terima lebih 600,000 permohonan perjalanan antara negeri

Menurut Ismail Sabri, ia sepatutnya berlaku secara 'pergerakan terus' namun mereka masih dibenarkan berhenti untuk menggunakan tandas di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta mengisi minyak kenderaan.

"Pergerakan mereka sepatutnya pergerakan yang terus kecuali mereka nak menggunakan tandas di R&R.

"Gerai makan di R&R adalah ditutup. Jadi saya nasihatkan kalau perjalanan jauh, mereka perlu membawa bekalan makanan.

"Surau di R&R juga ditutup. kalau seorang guna tandas, kalau ada empat orang dalam kereta... tiga yang lain perlu berada dalam kereta masing-masing," ujarnya.

Tambah Ismail Sabri, pihak berkuasa juga akan ditugaskan di R&R untuk memantau kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) kebenaran pergerakan itu.

Namun katanya, jika ada yang keletihan, mereka dibenarkan untuk berehat seketika di R&R, namun perlu kekal berada di dalam kereta dan tidak keluar merayau di kawasan sekitar.

"Perjalanan jauh kadang-kadang minyak tidak mencukupi, terpaka berhenti isi minyak. Sepanjang lebuh raya, stesen minyak beroperasi daripada 6 pagi hingga 12 malam," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain