suria

SPRM siasat kontrak rundingan KKM

Petugas kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa merawat pesakit Covid-19. Gambar sekadar hiasan.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa kontrak yang didakwa diberi secara rundingan terus oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan peralatan yang digunakan dalam menangani wabak Covid-19.

Sumber SPRM berkata kes berkenaan melibatkan proses pelantikan kontraktor untuk setiap pembelian prosedur pemerolehan kecemasan bagi menangani wabak Covid-19.

“Kes berkenaan sedang kami siasat dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kes ini kerana ia akan menggangu siasatan.

“Selain itu, SPRM ingin menafikan mesej tular di laman sosial mengatakan beberapa pegawai ditahan dalam serbuan di KKM semalam, ” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM akan sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM termasuk dalam memastikan warga kementerian itu sentiasa menitikberatkan nilai integriti sepenuhnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata berita penahanan beberapa pegawai dalam serbuan di KKM itu adalah palsu.

“Saya ingin menafikan kesemua tangkapan berkenaan, ” katanya.

Semalam tular satu mesej yang menyebut tentang penahanan lima individu yang terdiri daripada pegawai kanan, setiausaha kerja, kontraktor dan ketua parti politik bagi membantu siasatan ke atas pembelian khas sistem ujian dan peralatan perubatan bernilai sekitar RM30 juta bagi menangani wabak Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

SPRM, KKM, kontrak, Covid-19

Artikel Lain